Hong Leong Bank raih untung bersih RM1.04 billion suku ketiga 2024 - Utusan Malaysia

Hong Leong Bank raih untung bersih RM1.04 billion suku ketiga 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2024, lebih tinggi daripada RM929.96 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bank itu melaporkan pendapatan berjumlah RM1.44 bilion, meningkat daripada RM1.4 bilion pada suku perbandingan, sekali gus menghasilkan pertumbuhan pendapatan sesaham kepada 50.97 sen daripada 45.39 sen.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan terkumpul, HLB mencatatkan keuntungan bersih RM3.16 bilion, berbanding RM2.95 bilion pada sembilan bulan 2023, manakala hasil lebih rendah pada RM4.29 bilion berbanding RM4.38 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.

“Prestasi tersebut disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang kukuh, pengurusan kos yang berdisiplin dan sumbangan yang kukuh daripada syarikat bersekutu kami.

“Oleh itu, ini diterjemahkan kepada pulangan ekuiti (ROE) yang membanggakan sebanyak 12 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut HLB, portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar berkembang 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM187.8 bilion, disokong oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, serta operasi di luar negara.

“Memandangkan kami kekal berwaspada dan tegas dalam menegakkan standard pengunderaitan kredit yang kukuh, kami berjaya mencapai kualiti aset yang kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang stabil sebanyak 0.57 peratus dan nilai pinjaman berhemat (LIC) sebanyak 154.4 peratus,” katanya.

Dalam tempoh sembilan bulan, pendapatan faedah bersih dikekalkan pada RM3.46 bilion, dengan margin faedah bersih (NIM) pada 1.85 peratus.

Pendapatan bukan faedah menyederhana kepada RM831 juta disebabkan oleh pendapatan dagangan dan pelaburan yang lebih rendah serta pengurangan keuntungan pertukaran mata wang asing disebabkan perubahan dalam pendirian dasar monetari di Amerika Syarikat (AS).

Bank itu berkata, perbelanjaan operasi kekal stabil untuk suku itu dengan jumlah terkumpul RM1.71 bilion untuk tempoh sembilan bulan, menjadikan nisbah kos-kepada-pendapatan (CIR) bagi tempoh tersebut adalah dipuji pada 39.8 peratus.

“Pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan berkembang 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM187.8 bilion.

“Deposit pelanggan dalam tempoh sembilan bulan 2024 meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun kepada RM212.4 bilion, dengan pertumbuhan akaun simpanan semasa (Casa) sebanyak RM65 bilion dan nisbah Casa sebanyak 30.6 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya