PETALING JAYA: Hong Leong Bank Bhd. (HLB) melanggan sepenuhnya Bon Hijau Asean bernilai RM350 juta untuk membiayai pembangunan hab logistik transformatif baharu, Exio Logistics Sdn. Bhd. yang diperakui bangunan hijau di Bandar Elmina, Shah Alam.
HLB memaklumkan, bon hijau tersebut dikeluarkan oleh Exio Logistics dan HLB sebagai penasihat, sekali gus menjadikannya bon hijau pertama di Malaysia yang direka untuk pembiayaan pergudangan hijau.
Exio Logistics ialah usaha sama antara IJM RE Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh IJM Corp Bhd. dan FMM Elmina Sdn. Bhd., yang pemegang sahamnya ialah Tan Sri Teo Chiang Hong, Mettiz Capital San Bhd. dan MinIon Sdn. Bhd.
Exio Logistics sedang membangunkan hab logistik canggih yang direka untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kemampanan dan kecekapan.
“Kemudahan ini menggabungkan teknologi Sistem Pengambilan Storan Automatik (ASRS), menyediakan penyewa dan pengendali dengan dua faedah untuk mencapai kecekapan dan kecemerlangan operasi sambil berusaha ke arah matlamat kelestarian mereka.
“Apabila siap kelak, Storio Sdn. Bhd. akan menjadi pengendali keseluruhan hab logistik,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, kepentingan pelaburan hijau kepada pertumbuhan keseluruhan industri dan menekankan komitmen HLB untuk terus menyokong industri melalui pembiayaan hijau dan nasihat elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Pembiayaan ESG adalah bidang pertumbuhan utama, bukan sahaja untuk organisasi kami, tetapi untuk ekonomi yang lebih luas secara amnya.
“Seperti yang ditunjukkan melalui terbitan bon hijau ini dan inisiatif pembiayaan hijau yang lain, kami komited untuk menjadi rakan kongsi bagi perniagaan untuk mencapai keseimbangan antara peka terhadap alam sekitar sambil masih berdaya saing dari segi ekonomi.
“Malah, kami telah meluluskan lebih RM3.2 bilion bagi pembiayaan tenaga boleh diperbaharui dan RM3.97 bilion dalam pembiayaan bangunan hijau/perbandaran pada tahun kewangan 2023, membuktikan komitmen kami untuk memanfaatkan peluang berkaitan iklim dan menyokong pertumbuhan projek hijau di Malaysia dan seterusnya,” katanya. – UTUSAN