Hartalega raih untung bersih RM15.12 juta pada suku keempat 2024 - Utusan Malaysia

Hartalega raih untung bersih RM15.12 juta pada suku keempat 2024

HARTALEGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad mencatatkan prestasi lebih baik bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024, dengan untung bersih bernilai RM15.12 juta berbanding defisit RM319.85 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku tahun yang dilaporkan juga meningkat kepada RM530 juta.

Prestasi lebih baik bagi suku tahun dalam tinjauan dicapai terutamanya kerana harga jualan purata (ASP) lebih tinggi, yang sebahagian besarnya dipacu oleh pergerakan kadar tukaran asing yang menguntungkan.

Walaupun mencatatkan hasil lebih tinggi, margin operasi dihimpit oleh kos bahan mentah dan penyelenggaraan berikutan langkah menggiatkan operasi di kemudahan pengeluaran Kompleks
Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) Hartalega bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi.

Keputusan kumpulan pada suku tahun yang dilaporkan juga disokong oleh pembalikan peruntukan yang dibuat untuk sebuah anak syarikat asing.

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2024, kumpulan mengakhiri tempoh fiskal dengan untung bersih RM12.72 juta, berbanding defisit RM235.14 juta pada tahun sebelumnya.

Paras untung positif ini disokong oleh pendapatan faedah lebih tinggi, keuntungan tukaran mata wang asing dan pembalikan peruntukan tertentu yang tidak lagi diperlukan dalam tempoh yang
dilaporkan.

Ini ditambah pula dengan ketiadaan kerugian rosot nilai sekali berjumlah RM347 juta ekoran penutupan kemudahan Bestari Jaya, yang dialami pada tahun kewangan sebelumnya.

Sementara itu, hasil pula mencecah RM1.8 bilion, iaitu lebih rendah daripada tahun kewangan terdahulu terutamanya kerana jumlah jualan lebih rendah dan penyusutan ASP disebabkan kelemahan permintaan pasaran pada tahun fiskal yang dilaporkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, pihaknya yakin sektor sarung tangan getah kini semakin pulih walaupun pelbagai cabaran masih wujud.

“Tinjauan permintaan bertambah baik dan usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing dari segi kos.

“Dalam hal ini, langkah strategik kami untuk menutup kemudahan Bestari Jaya adalah tindakan yang tepat dan sudah membuahkan hasil dengan memberikan sumbangan positif kepada keuntungan.

“Hartalega akan terus melaksanakan Pelan Strategik 5 Tahun untuk meningkatkan kemampanan dan ketahanan perniagaan.

“Bidang-bidang teras yang menjadi tumpuan termasuk usaha mengoptimumkan kos, meningkatkan automasi dan mengekalkan kedudukan kepimpinan kami dari segi pelaksanaan
agenda sosial dan kelestarian menerusi usaha ESG kami,” katanya.

Walaupun tekanan pasaran luar akan terus mendesak dalam jangka pendek, permintaan sarung tangan dijangka beransur-ansur kembali normal ke paras sebelum pandemik dan seterusnya meningkat.

Ia dipacu oleh keperluan penjagaan kesihatan yang semakin bertambah dan kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan di peringkat global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya