PETALING JAYA: Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad akan membangunkan sebanyak 14,000 rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.6 bilion menerusi projek Idaman Amani, Bandar Elmina dan beberapa projek di sekitar ibu negara.
Pembangunan Idaman Amani dengan GDV berjumlah RM286 juta itu memerlukan pembinaan dua blok bertingkat tinggi di atas plot seluas 8.9 ekar yang terdiri daripada 1,063 pangsapuri mampu milik separuh perabot.
Idaman Amani dibangunkan oleh Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama Sime Darby Berhad dan Kerajaan Negeri Selangor yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2028.
Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad, Wan Azman Wan Kamal berkata, projek itu bertujuan untuk melengkapkan usaha Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia B40 dan M40.
“Penekanan kami untuk mencipta ruang kediaman yang direka dengan baik, moden dan mampu milik akan menjadikan Gagasan Nadi Cergas sebagai jenama yang dipercayai di kalangan pembeli rumah dan meningkatkan kualiti hidup untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kumpulan itu memulakan projek yang sama menerusi Idaman Bukit Jelutong dan Idaman Kwasa Damansara dengan GDV masing-masing RM304 juta dan RM1.0 bilion.
“Sambutan orang ramai terhadap kedua-dua projek adalah sangat positif kerana disokong oleh reka bentuk moden kontemporari yang menarik bagi unit, lokasi strategik kedua-dua projek dan harga berpatutan iaitu RM250,000 seunit,” ujarnya.
Tambah Wan Azman, Idaman Amani akan dilengkapi tiga bilik tidur dan ruang binaan seluas 1,000 dan 1,120 kaki persegi, dengan harga bermula pada RM250,000 seunit serta setiap unit akan dilengkapi dengan televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan pendingin hawa. – UTUSAN