PETALING JAYA: Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) melalui syarikat milik penuhnya, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) bersama Avionics Pty Ltd. (APL) memperoleh tambahan nilai kontrak berkaitan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa dan Kontrak Kerja Kecil (Antarabangsa) daripada Jabatan Pertahanan Australia bernilai RM15.71 juta.
Menurut kenyataan, kontrak tu menjadikan jumlah nilai kerja Fajarbaru yang diperoleh kini berjumlah RM39.05 juta setakat 28 Mei 2024.
“Perkembangan ini adalah berikutan pindaan kepada kontrak yang mengembangkan skop penglibatan Fajarbaru dalam projek infrastruktur reka bentuk dan pembinaan semula fasiliti ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.
Jelasnya, bahagian kontrak Fajarbaru pada mulanya bernilai RM7.36 juta bagi fasa perancangan projek tersebut, namun pada 11 Januari lalu ia mengumumkan jumlah nilai bahagian itu naik kepada RM12.30 juta untuk mengambil kira kerja tambahan.
“Pada 15 Mac pula, Fajarbaru memperoleh Kontrak Kerja Kecil (Antarabangsa) daripada Jabatan Pertahanan Australia, dengan bahagian kontrak Kumpulan bernilai RM11.04 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, perkembangan itu bukti keyakinan yang diberikan oleh Jabatan Pertahanan Australia terhadap keupayaan mereka memberikan hasil luar biasa dan membuka peluang dalam sektor pertahanan.
“Kami akan terus mengejar peluang tambahan untuk meningkatkan penglibatan dalam projek ini dengan memanfaatkan kekuatan kami yang terbukti dalam projek infrastruktur kritikal dan pembinaan,” katanya. – UTUSAN