Caj operasi lapangan terbang naik tahun depan - Utusan Malaysia

Caj operasi lapangan terbang naik tahun depan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan antara lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan kenaikan besar-besaran dalam caj pensijilan operasi lapangan terbang tahunan di negara ini mulai tahun depan.

Antara tujuh kategori pensijilan yang akan melihat lonjakan besar yang diumumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah lapangan terbang dengan landasan pacu tunggal dan dua, kebanyakan daripadanya dimiliki dan dioperasikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

MAHB kini mengendalikan lima lapangan terbang antarabangsa, dan masing-masing 17 lapangan terbang domestik dan STOLports (landasan berlepas dan mendarat yang pendek).

Selain itu, ia memiliki dan menguruskan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.

Menurut laporan theedge, dalam notis terkini kepada semua pihak berkepentingan, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud menyatakan, sebanyak tujuh yuran pensijilan sedia ada akan mengalami peningkatan namun 128 pengendali lapangan terbang tidak terlibat.

“Walau bagaimanapun, sebanyak 25 kategori yang melibatkan pesawat tanpa pemandu dan dron akan dikenakan yuran baharu,” katanya.

Di bawah struktur yuran yang disemak semula, yuran pensijilan lapangan terbang tahunan untuk lapangan terbang dengan dua landasan akan meningkat 50 peratus kepada RM300,000 untuk tiga tahun bermula dari Januari tahun depan, RM390,000 (2028 hingga 2030) dan RM468,000 (dari 2031).

Yuran untuk satu landasan pula adalah RM225,000 dari 2025 hingga 2027, RM292,000 (2028 hingga 2030) dan RM351,000 (dari 2031).

Lapangan terbang STOLports akan membayar RM25,000 (2025 hingga 2027), RM39,000 (2028 hingga 2030) dan RM46,800 (mulai 2031).

Selain itu, heliport di pantai dan helideck kapal akan dikenakan yuran sebanyak RM37,500 dari 2025 hingga 2027, RM48,750 (2028 hingga 2030) dan RM58,500 (dari 2031).

Syarikat penerbangan juga perlu membayar lebih untuk pembaharuan tahunan sijil kebolehgunaan udara bagi setiap pesawat, berdasarkan maksimum berat lepas landas yang disahkan.

Yuran untuk permohonan pembaharuan sijil yang berkaitan dengan pengurusan kebolehgunaan udara berterusan, penyelenggaraan produk penerbangan dan latihan penyelenggaraan serta pembaharuan sijil pengendali udara akan melihat peningkatan yang ketara setiap tiga tahun bermula dari 2025.

Mengulas lanjut, Norazman berkata, perubahan dalam struktur yuran menandakan satu titik penting bagi pengawal selia penerbangan, menandakan peralihan daripada model yang disokong oleh kerajaan kepada satu model pemulihan kos yang dibiayai oleh industri.

“Mengakui peranan penting satu kerangka pengawalseliaan penerbangan yang kukuh dan perkhidmatan navigasi udara yang cekap, kerajaan telah mengambil langkah menyeluruh untuk memperbaiki struktur kewangan CAAM, memastikan kelestarian kewangan jangka panjang.

“Kelulusan rangka kerja harga penerbangan baharu mencerminkan satu pencapaian penting, dibina atas perundingan yang meluas yang bermula pada 2021, dan usaha kerjasama di antara pihak berkepentingan industri, pihak berkuasa pengawal seliaan dan kerajaan,” katanya.

Dalam maklum balas awal mereka pada awal tahun ini, pihak berkepentingan telah mendesak CAAM untuk mempertimbangkan semula peningkatan tersebut yang mereka katakan terlalu tinggi dan akan membebankan pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan, terutamanya kerana mereka masih dalam proses pemulihan daripada kesan Covid-19.

“Mereka juga menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan itu akan diteruskan kepada penumpang udara yang akan diberatkan dengan kos yang lebih tinggi kerana pengendali syarikat penerbangan dan lapangan terbang tidak akan mempunyai pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya