PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) menaja 31 kategori anugerah dengan nilai keseluruhan RM420,000 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Anugerah itu dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat negeri dan peringkat kebangsaan yang berangkumi 29 kategori termasuk anugerah utama iaitu Tokoh Guru Kebangsaan serta Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan juga menaja satu anugerah peringkat negeri dan satu anugerah khas Menteri Pendidikan.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pihaknya komited terus memperkasa kemajuan negara, selari dengan slogan sambutan tahun ini iaitu ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI.’
“Guru adalah tunjang untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang pesat berkembang.
“Oleh itu, penajaan kami adalah simbol penghargaan di atas jasa mereka yang tidak ternilai yang merupakan asas kepada masyarakat yang progresif dan berpengetahuan, di mana pendidikan merentasi semua sempadan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk berkembang maju,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Masariah Mispari yang juga penerima anugerah guru inovatif peringkat wilayah persekutuan pada 1995, 2000, dan 2014 telah menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024 diatas jasanya dalam bidang pendidikan di dalam dan luar negara.
Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024 pula telah dinobatkan kepada Datuk Suliaman @ Sulaiman Wak atas jasa beliau yang telah merancang dan menggubal dasar pendidikan, perancangan Pembangunan pendidikan dan pembangunan sistem aplikasi maklumat pendidikan, serta menyumbang dan berperanan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.
Dalam majlis yang sama, BSN turut melancarkan jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Rakan DELIMa dan merupakan antara bank pertama yang menyiarkan e-Modul Celik Kewangan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah melalui pelantar DELIMa tersebut.
“DELIMa merupakan pelantar pembelajaran digital KPM dan mengupaya semua sekolah di bawah KPM menjadi sebahagian ekosistem pembelajaran digital mulai tahun 2019 yang membolehkan murid, guru dan ibu bapa yang mempunyai ID mengakses pelantar DELIMa bagi mengikuti pembelajaran literasi kewangan yang telah disediakan oleh pihak BSN,” ujarnya. – UTUSAN