SERDANG: BMW Group Malaysia di bawah bahagian motosikalnya, BMW Motorrad melancarkan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR pada Malaysia Autoshow 2024, di sini hari ini.
BMW CE 02 dijual pada harga RM40,000, BMW F 900 GS (RM90,000), BMW R 1300 GS (RM140,000) dan BMW S 1000 XR (RM130,000).
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, pameran ini mencerminkan azam syarikat untuk menyuntik nafas baharu kepada pengalaman menunggang motosikal di negara ini.
Katanya, setiap motosikal melambangkan inovasi yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih dengan begitu sempurna.
“Kami ingin mempelawa para peminat motosikal untuk menyertai kami dalam perjalanan yang mengujakan ini bersama BMW Group Malaysia.” katanya pada pameran tersebut Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Pada majlis yang sama, BMW Group Malaysia di bawah jenama automotif premium kompak, MINI memperkenalkan model baharu iaitu MINI Countryman SE ALL4 elektrik baharu, MINI John Cooper Works (JCW) Countryman ALL4 baharu dan MINI Cooper S baharu.
Ketiga-tiga model tersebut dijangka dijual pada harga masing-masing RM399,000, RM260,000 dan RM280,000.
Benjamin berkata, seperti setiap model MINI yang muncul sebelumnya, MINI Countryman melangkaui batas dan memberi definisi baharu kepada konsep sebuah kereta.
“Menggandingkan teknologi canggih dengan reka bentuk yang ikonik, ia melambangkan inovasi, prestasi dan semangat kembara yang turut mencerminkan visi kami untuk alaf mobiliti urban yang baharu.” ujarnya.
Tambah beliau, MINI Cooper S baharu pula membawa sensasi pemanduan ala go-kart ke aras yang lebih tinggi, sambil memberi penghormatan kepada reka bentuk MINI klasik yang bersifat abadi.
“Sementara ahli-ahli baharu dalam keluarga MINI ini membuat penampilannya, semangat kami ke atas inovasi dan pengembaraan terus menjadi teras yang memacu jenama ini ke hadapan dan kami ingin mempelawa para peminat di Malaysia untuk mengalami sendiri perjalanan yang mengujakan ini bersama-sama,” jelasnya. – UTUSAN