PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bekerjasama dengan Backbase bagi membentuk langkah strategik untuk menjadi sebuah Bank Islam digital yang terkemuka pada masa depan.
Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Mambu, platform perbankan awan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) yang sebenar di dunia.
Menurutnya, ia berikutan teras transformasi perbankannya dapat menjayakan revolusi pendigitalan itu.
“Dengan adanya Platform Engagement Banking Backbase yang bertindak sebagai platform utama, ia dapat memudahkan segala proses perkhidmatan bagi pelanggan mereka.
“Dengan ini Bank Muamalat berupaya untuk mencipta pengalaman perbankan yang boleh disesuaikan dan unik untuk para pelanggan, di samping selamat, konsisten, pantas dan boleh diskalakan.
“Inisiatif transformasi ini menumpukan kepada pembangunan aplikasi super perbankan Islam digital yang serba moden, bertujuan untuk menambah baik penyelesaian perbankan runcit dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peralihan tersebut adalah penting bagi membolehkan bank menawarkan pengalaman perbankan yang direka khusus mengikut keutamaan pelanggan pada zaman kini.
“Matlamatnya adalah untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna yang merangkumi ciri pemerkasaan hal-hal berkaitan kewangan hinggalah dan jaminan keselamatan bagi setiap transaksi,” katanya.
Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat turut menetapkan sasaran untuk memperluaskan lagi inovasi tersebut kepada segmen perbankan komersial dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh yang terdekat.
Sementara itu, Naib Presiden Rantau Asia Backbase, Riddhi Dutta berkata, Platform Engagement Banking direka dengan mengutamakan fleksibiliti, dan perkhidmatan mikro sedia terbina yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan perbankan Islam.
“Kerjasama kami dengan Bank Muamalat membuktikan komitmen kami ke arah menyokong bank Islam dalam perjalanan transformasi digital mereka.
“Peralihan kepada model berasaskan awan bukan hanya akan meningkatkan penawaran perkhidmatan tetapi turut memberikan penjimatan kos dan peningkatan kecekapan operasi yang ketara, membolehkan pembangunan perisian Bank Muamalat untuk mempercepatkan pembangunan perisian dengan memanfaatkan teras digital Mambu bagi memenuhi keperluan kawal selia.
Mambu merupakan pemain utama dalam ruang teras perbankan berasaskan awan, di mana ia hari ini telah memperkasakan banyak institusi kewangan di 65 negara. – UTUSAN