Ambank catat PATAMI lebih tinggi RM1.87 bilion - Utusan Malaysia

Ambank catat PATAMI lebih tinggi RM1.87 bilion

JAMIE Ling (tengah), Ketua Perhubungan Pelabur Kumpulan Ambank, Yeoh Ru Hann (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ambank, Shafiq Abdul Jabbar (kiri) menunjukkkan laporan kewangan ketika sidang akhbar Pengumuman Keputusan Tahun Kewangan 2024 Kumpulan Ambank semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM1.87 bilion, meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pulangan atas ekuiti (ROE) meningkat kepada 10 peratus berbanding 9.8 peratus pada tahun kewangan 2023, manakala pulangan atas aset (ROA) bertambah baik kepada 0.97 peratus daripada 0.90 peratus pada tahun lalu.

“Pendapatan sesaham asas (EPS) meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun kepada 56.49 sen daripada 51.62 sen pada tahun kewangan 2023,” katanya dalam sidang akhbar keputusan tahun kewangan 2024 AMMB Holdings, di sini.

Menurutnya, pinjaman dan pembiayaan kasar pula meningkat 3.0 peratus tahun ke tahun kepada RM134.1 bilion berbanding RM130.2 bilion pada tahun kewangan 2023, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) lebih tinggi pada 1.67 peratus.

“Perlindungan kerugian pinjaman kumpulan (LLC), termasuk rizab kawal selia berada pada 109.5 peratus lebih rendah berbanding tahun kewangan 2023 iaitu sebanyak 127.7 peratus.

“Deposit pelanggan pula meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM142.4 bilion manakala deposit masa meningkat 9.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kunci kira-kira bank berada dalam keadaan baik dengan menambah baik nisbah modal dan mengisytiharkan kenaikan 23 peratus dalam dividen tahunan sebanyak 22.6 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan 2024 sebanyak RM4.64 juta sejajar dengan tahun kewangan 2023 walaupun margin pendapatan bersih (NIM) untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 1.79 peratus.

“Pendapatan faedah bersih (NII) kumpulan merosot 6.7 peratus kepada RM3.3 juta, manakala pendapatan bukan faedah (NoII) tahun ke tahun kukuh sebanyak 14.7 peratus kepada RM1.34 juta dan ini membantu mengimbangi kesan NIM.

“Pertumbuhan NoII disumbangkan oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada Perbankan Pelaburan, Dana dan Pengurusan Kekayaan serta pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.

“Pendapatan daripada operasi berterusan meningkat sedikit pada RM4.6 juta, diterajui oleh pertumbuhan NoII sebanyak 19.2 peratus, diimbangi oleh penurunan 5.5 peratus dalam NII,” katanya.

Mengulas mengenai prospek tahun kewangan 2025, beliau berkata, kumpulan menjangkakan pasaran kewangan global akan terus meningkat, berpusat pada prospek inflasi dan arah dasar monetari mengenai kadar faedah di peringkat global.

“Pemacu permintaan luaran telah bertambah baik walaupun terdapat ketegangan dan konflik geopolitik yang berterusan.

Selain itu, Ambank turut menjangkakan pertumbuhan keluaran kasar dalam negara (KDNK) sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus untuk ekonomi Malaysia tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang semakin baik yang memacu penggunaan.

“Kami juga menjangkakan peningkatan aktiviti pelancongan untuk merangsang ekonomi dan kesan limpahan daripada kitaran peningkatan teknologi untuk memacu pelaburan langsung asing ke dalam negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya