PETALING JAYA: Affin Bank Bhd. mencatatkan untung bersih lebih rendah bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 pada RM110.21 juta, susut 26 peratus berbanding RM148.98 juta yang direkodkan setahun sebelumnya.
Pendapatan faedah bersih turun 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM361.98 juta, manakala pendapatan bukan faedah melonjak 34 peratus kepada RM142.56 juta.
Jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 14.1 peratus, mencecah RM107.3 bilion pada suku pertama 2024 berbanding RM94.1 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya tetap fokus untuk mengembangkan francais deposit pemindahan Akaun Semasa atau Simpanan Konvensional (CASA) dan perniagaan margin tinggi sambil mengoptimumkan kos, yang terkandung dalam pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
Jelas beliau, aplikasi Perbankan Mudah Alih baharu yang dilancarkan pada Oktober 2023 telah menarik lebih dari RM400 juta dalam deposit CASA.
“Perniagaan margin tinggi kami juga menunjukkan pertumbuhan, terutamanya dalam segmen Pembiayaan Peribadi yang berkembang sebanyak 27.1 peratus tahun ke tahun kepada RM6.1 bilion.
“Segmen kad kredit juga berkembang sebanyak 23.4 peratus YoY kepada RM461.5 juta. Kami merancang untuk memperkenalkan pelbagai produk inovatif dan inisiatif digital pada tahun ini” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, kumpulan Affin kekal berhati-hati terhadap persekitaran ekonomi yang rapuh akibat ketidaktentuan geopolitik di Eropah dan Asia Barat, ditambah dengan permintaan perdagangan yang lemah dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Beliau berkata, memandangkan kelemahan ekonomi global, pihaknya telah meningkatkan standard taja jaminnya bagi menjangkakan potensi kesan ke atas ekonomi Malaysia.
“Kedudukan modal dan peruntukan rizab kerugian pinjaman kami kekal tinggi untuk melindungi bank dan pemegang sahamnya,” katanya.
Jelasnya, pada suku pertama 2024, jumlah pinjaman dan pembiayaan keseluruhan Affin meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM68 bilion, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan 15 peratus dalam segmen perbankan komuniti.
“Pinjaman perumahan juga meningkat sebanyak 15.2 peratus, manakala pinjaman pembiayaan kenderaan meningkat sebanyak 10.3 peratus.
“Deposit CASA Affin direkodkan pada RM17.9 bilion dalam 1QFY2024, dengan peningkatan deposit pelanggan sebanyak 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM71.8 bilion.
“Perniagaan bertingkat tinggi kami juga telah menunjukkan pertumbuhan, terutamanya dalam segmen pembiayaan peribadi yang membesar 27.1 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM6.1 bilion.Segmen kad kredit meningkat 23.4 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM461.5 juta,” katanya.