PETALING JAYA: AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG) mencapai persetujuan dalam Perjanjian Kolektif (PK) ketiga di antara Kesatuan Sekerja Pengurus AEON BiG (ABMU) dan Kesatuan Sekerja Pekerja AEON BiG (ABWU) berkuat kuasa dari 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2026.
PK baharu itu merupakan satu titik pencapaian bagi kedua-dua pihak yang akan mentadbir dan menyelaraskan terma dan syarat pekerjaan pengurus dan pekerja AEON BiG serta menjanjikan peningkatan kebajikan pengurus dan pekerja dari segi gaji, faedah kesihatan dan pengubatan.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kenaikkan gaji secara menyeluruh adalah ekslusif untuk ahli kesatuan sekerja AEON BiG bagi menampung peningkatan kos sara hidup masa kini.
“Kami telah pun melaksanakan penyesuaian gaji selaras dengan pasaran, di mana kami memahami keadaan ekonomi semasa dan komited untuk memberikan yang terbaik kepada tenaga kerja AEON BiG,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemeteraian perjanjian itu menandakan langkah penting dalam memupuk hubungan industri yang positif bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja.
“Ia juga merupakan pencapaian yang penting dalam mewujudkan suasana tempat kerja yang menghargai kerjasama, keadilan dan keharmonian di kalangan pekerja,” katanya.
Sementara itu, Presiden ABMU, Muhammad Hider Md. Yusoff berkata, kesepakatan itu adalah perjanjian ketiga dan juga antara terbaik ditawarkan berbanding yang sebelumnya.
“Kami berasa bangga kerana berjaya merealisasikan beberapa pembaharuan dan peningkatan seiring dengan keadaan ekonomi terkini,” ujarnya.
Presiden ABWU, Muhamad Fikri Zulfekly pula menyatakan bahawa kebajikan pekerja akan lebih terjamin untuk masa depan dengan perjanjian baru ini.
“Kami yakin lebih ramai lagi pekerja AEON BiG akan menyertai persatuan sekerja kami dengan peningkatan faedah untuk tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN