PETALING JAYA: Pakar kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) melalui anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd., memperoleh kontrak bernilai RM25.4 juta dari Sime Darby Property (Bukit Jelutong) Sdn. Bhd.
Kumpulan itu akan menjalankan kerja-kerja infrastruktur utama bagi Tiara Residences, Seksyen U8, Bukit Jelutong, di Shah Alam, Selangor yang dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan, bermula dengan pengambilan tapak pada bulan Jun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, rekod pencapaian kumpulan yang berjaya dalam melaksanakan pelbagai kontrak kerja tanah untuk Sime Darby Property telah membuka jalan bagi projek lain.
“Kontrak yang diterima itu mengukuhkan keyakinan Sime Darby terhadap kemampuan dan kualiti perkhidmatan kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Advancecon menantikan untuk memberikan khidmat cemerlang dalam kedua-dua penyelesaian kerja tanah dan infrastruktur bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri itu
Selain itu, beliau berkata, Advancecon telah memainkan peranan penting dalam menyokong projek pembangunan Sime Darby Property dengan menyediakan perkhidmatan kerja tanah untuk Bandar Bukit Raja 2 dan 3 di Klang, Selangor, Serenia City di Sepang, Selangor dan projek taman perindustrian di Pagoh, Johor.
“Projek-projek yang sedang dijalankan, termasuk perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam untuk projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Kumpulan juga menjalankan kerja tanah untuk pelbagai pembangunan hartanah di Semenanjung Malaysia dan projek jalan raya, perindustrian serta minyak dan gas di Sarawak.
“Projek-projek ini akan mengekalkan pendapatan Kumpulan untuk dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN