Suzuki Jimny Black Edition - Mini SUV retro yang digilai - Utusan Malaysia

Suzuki Jimny Black Edition – Mini SUV retro yang digilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK mula diperkenalkan pada tahun 1970, Suzuki Jimny dika­tegorikan sebagai sebuah mini kenderaan utiliti sukan (SUV) ataupun sebagai ‘Jip Klas K.’ Rekabentuknya tidak jauh lari daripada rekaan asal dan mungkin ciri-ciri retro ini diklasifikasikan sebagai hobi yang sama ada boleh dikatakan unik dan juga mewah.

Mengapakah ia diklasifikasikan sebagai satu hobi mewah? Harga pasaran seunitnya adalah dalam sekitar RM170,000 tertakluk kepada variasi yang mana yang lebih anda suka.

Saya ditawarkan untuk memandu uji salah satu varian Suzuki Jimny yang terbaru di pasaran iaitu Jimny Black Edition. Kita terus sahaja mengupas hasil pandu uji kita.

REKA BENTUK
Seperti yang dikatakan pada awal artikel ini, ia sebuah mini SUV yang berkonsepkan retro. Hampir tiada langsung perbezaan model Jimny yang biasa kita lihat atas jalan raya Malaysia ini.

Pertama sekali, nama Black Edition tersebut bukan sahaja mempamerkan skim warna badan Jimny ini, namun juga memberi penekanan tentang aksesori yang didatangkan bersamanya. Gril hadapannya diperbuat daripada fiber karbon. Skim sulaman gentian-gentian kaca selalunya menjadi pilihan kenderaan-kenderaan yang berkonsepkan perlumbaan atau sporty.

Namun bagi model Jimny ini, Grill Carbon Fiber tersebut dipadankan juga pada rekaan cermin sisi dan kemasan tempat pemegang tayar ganti yang terletak di pintu belakang. Penggunaan motif CF pada skim warna hitam berkilat memberikan satu kelainan pada jimny ini.

Melangkah masuk ke dalam kabin, anda sudah tentu tertarik pada skim warna tempat duduk depan dan belakang yang menggunakan kulit Nappa dwi tona, yang sedikit sebanyak meningkatkan imej dan keberadaannya. Mencampurkan sedikit elemen sporty ke imej mini SUV ini jelas menampakkan kelainan daripada model-model sebelumnya.

Memandangkan rekaan tempat duduk dalam Jimny ini hanya lebih menumpukan pada kulit yang dibalut dan bukannya dari segi keselesaan ataupun prestasi pemanduan sporty, kerusinya dirasakan sedikit keras atau terlalu kenyal bagi selera saya.

Papan pemukanya berwarna hitam dan bersegi, memberi penghormatan kepada rekaan retro jip-jip tahun 70-an dan 80-an. Namun sentuhan moden yang minimun tetap diselitkan ke dalam rekaan papan pemuka ini dengan menampilkan sistem infotainmen yang agak asas tetapi sangat diperlukan.

Skrin sesentuh mempamerkan sistem audio seperti radio ataun perhubungan dan alat peranti anda, bagi membolehkan anda memadankan kontek hubungan serta senarai lagu-lagu yang disimpan dalam alat peranti yang dibawa masuk ke dalam kabin Jimny ini.

Sterengnya pula mempunyai butang-butang atau suis yang membolehkan anda menguruskan atau mengendalikan sistem infotainmen tersebut tanpa perlu anda menyentuh skrin.

Memandangkan Jimny ini hanya mempunyai dua pintu hadapan dan satu pintu di belakang, ia tidak didatangkan dengan ruang tempat duduk belakang yang besar. Sekiranya penumpang belakang agak tinggi, maka haruslah penumpang tersebut melaraskan kedudukan sendiri untuk mengelakkan lutut tersangkut.

Untuk masuk ke tempat duduk belakang juga agak sukar kerana ruang masuk yang sedia ada agak terhad, walaupun kerusi hadapan telah ditolak ke hadapan semaksima mungkin.

Akan tetapi, ruang kelegaan kepala dan bumbung dalam Jimny agak tinggi dan langsung tidak mendatangkan kepayahan untuk penumpangnya.

PEMANDUAN
Terus terang, Suzuki Jimny ini bukan untuk kelajuan, bukan untuk selesa, malah, ia juga bukanlah sebuah jentera “off road” yang berkuasa. Spesifikasi enjinnya yang bukan disertakan dengan Turbo dan hanya berkapasiti 1500cc, maka saya tidak menaruh harapan untuk membawa Jimny ini masuk ke dalam hutan belantara atau laluan lori balak.

Gearnya ibarat sebuah Proton Wira Automatik, yang seperti kereta kurang berteknologi. Sekiranya saya ingin juga mencuba memandunya pada laluan tanpa tarmac atau berpasir dan berbatu-batu, saya cuba menukar tolok gear ‘adventure’ untuk memberikan lebih cengakaman pada keempat-empat rodanya pada mod empat lejang secara manual.

Mempunyai brek parkir yang harus digunakan dengan tuil tangan, sekali lagi menunjukkan kenderaan ini tidak dilengkapi dengan sistem elektronik yang canggih.

Pemanduan dalam bandar raya juga turut dirasakan agak hambar kerana tidak mempamerkan kuasa tujahan yang tinggi. Ia dirasakan seperti menunggang sebuah jip, trak yang anda pinjam dari saudara anda yang sudah berumur atau sudah pencen.

Untuk tidak terlalu bersifat negatif pada Suzuki Jimny ini, saya harus mengatakan Jimny ini ada sistem “Cruise Control” yang mana anda boleh memandu dengan kelajuan pilihan anda atas lebuh raya tanpa menekan pedal kelajuan. Akan tetapi, anda masih lagi perlu peka dan sentiasa berwaspada kerana Jimny ini tidak didatangkan dengan sensor dan brek automatik terhadap halangan anda di hadapan. Pedal brek untuk Jimny ini tidaklah harus dilupai.

KESIMPULAN
Oleh kerana teknologi masa kini, pemanduan SUV kini dilihat perlu ada teknologi bantuan pemanduan elektronik bagi memudahkan dan meningkatkan keselematan pada pemandu dan penumpang.

Bagi Suzuki Jimny, ia bukan satu keperluan. Jimny adalah diperbuat khas untuk kumpulan kecil peminat-peminat tegarnya. Golongan sasar Jimny ini adalah daripada mereka yang mampu mengeluarkan ratusan ribu hanya untuk memuaskan hati dan hobi mereka.

Untuk pasaran Malaysia, nampaknya jumlah golongan sasar Jimny tidak pernah berkurangan dan tidak pula terlalu berkira harga jualannya. Suzuki Jimny Black Edition ini dipasarkan pada harga RM171,000 tanpa caj cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Golongan peminat tegarnya, langsung tidak memperdulikan saiz kabinnya yang kecil, kapasiti enjinnya bukan 2000cc ke atas. Tiada yang merajuk kerana tiada sistem Turbo pada enjin kecilnya. Malah, saya boleh katakan ruang penyimpan barangan boleh dikatakan hampir tiada.

Suzuki Jimny ini dibawa untuk para pencinta tegarnya oleh Naza Eastern Motors, tidak pernah bermasalah untuk menjual Jimny ini dalam apa jua variasi. Begitulah senarionya dalam pasaran automotif tempatan kita.

Satu lagi model Jimnya yang dipasarkan serentak dengan Jimny Black Edition, iaitu Jimny “Rainforest Edition”, menggunakan skim warna hijau lengkap dengan barisan pelekat rekaan ‘camouflage’ merentasi dinding tepi Jimny versi ini.

Adakah anda salah seorang daripada peminat Jimny yang sanggup menghabiskan ratusan ribu untuk menepati hobi anda? Pilihannya ada pada anda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN