SC, Bursa Malaysia tingkat pemantauan pastikan pasaran modal stabil susulan konflik Timur Tengah - Utusan Malaysia

SC, Bursa Malaysia tingkat pemantauan pastikan pasaran modal stabil susulan konflik Timur Tengah

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia telah meningkatkan pemantauan dan pengawasan untuk memastikan aktiviti pasaran modal Malaysia kekal stabil, saksama dan teratur susulan perkembangan terkini konflik di Timur Tengah.

SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini berkata, mereka memberi jaminan bahawa asas pasaran kekal kukuh dan pengantara dipermodalkan dengan baik.

“Kami juga mempunyai sistem yang mantap untuk memastikan penjelasan dan penyelesaian perdagangan yang berterusan dan berkesan.

“Selain itu, kami mempunyai kawalan yang diperlukan untuk menangani potensi peningkatan mendadak dalam turun naik pasaran ekuiti.

“Kami akan terus menilai keadaan dengan teliti untuk memastikan integriti pasaran modal kami kekal utuh,” demikian menurut kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memantau rapat perkembangan terkini dan kesan peningkatan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah termasuk potensi konflik berkenaan terhadap impak ke atas ekonomi dan rakyat negara ini.

“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kita juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut berkenaan.

Konflik Iran-Israel tercetus apabila Iran melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu di wilayah diduduki Israel semalam.

Pelancaran dron yang dipercayai buatan Iran, Shahed-136 telah disahkan oleh tentera Israel dan media berkaitan negara Iran, Press TV.

Iran telah berikrar membalas dendam atas apa yang disifatkannya sebagai serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang membunuh tujuh pegawai pengawal termasuk dua komander kanan dan berkata serangannya adalah hukuman bagi ‘jenayah Israel.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya