SBH Marine mulakan dagangan di Pasaran ACE

SBH Marine mulakan dagangan di Pasaran ACE

TAN Boo Nam (lima dari kiri) dan Saarani Mohamad (enam dari kiri) bersama barisan pengurusan tertinggi SBH Marine semasa Majlis Pelancaran SBH Marine di Pasaran ACE Bursa Malaysia, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), SBH Marine Holdings Berhad (SBH Marine) memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada harga 25 sen sesaham, mewakili premium 15.9 peratus berbanding harga terbitan awal 22 sen sesaham dengan volum pembukaan 21.23 juta saham.

Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyenaraian SBH Marine selari dengan misi dan objektif syarikat itu untuk memajukan sektor akuakultur di Perak.

“Kejayaan penyenaraian SBH Marine seharusnya menjadi contoh kepada usahawan lain di bawah Program Usahawan Perak SADC dalam membangunkan aktiviti pertanian di Perak,” katanya selepas Majlis Pelancaran SBH di Pasaran ACE Bursa Malaysia, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kumpulan SBH Marine, Tan Boo Nam berkata, SBH berjaya memperoleh sejumlah RM39.6 juta melalui terbitan awam 180 juta saham biasa baharu (Saham Terbitan Awam) berharga 22 sesaham.

Jelas beliau, sebanyak lebih 70 peratus akan digunakan untuk pengembangan perniagaan.

“Sebanyak 40.4 peratus atau RM16 juta dari hasil itu akan digunakan untuk membangunkan ladang udang akuakultur di Selinsing, Perak.

“Selain itu, kami akan membelanjakan 16.4 peratus atau RM6.5 juta untuk membina kilang pemprosesan makanan laut kedua di Kuala Krau,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya akan memperuntukkan 15.4 peratus atau RM6.1 juta hasil bagi pembelian jentera baharu, peralatan dan kenderaan bermotor.

“Baki daripada hasil tersebut sebanyak RM7 juta pula untuk modal kerja manakala RM4 juta lagi untuk perbelanjaan penyenaraian.

“Komitmen ini adalah bagi memastikan bekalan produk yang lebih mudah dikesan dan mampan untuk pelanggan yang dihargai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pengarah Eksekutif SBH Marine, Saw Leng Heng berkata, SBH akan memberi tumpuan kepada segmen pasaran premium bagi memenuhi keperluan pengguna untuk memastikan kelestarian jangka panjangnya.

“Strategi ini membolehkan SBH Marine mencapai margin lebih tinggi kerana ia mengelakkan persaingan langsung dengan negara jiran.

“Seperti yang diketahui, negara jiran kita seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan India mengejar pasaran komoditi, yang merupakan barang harga rendah. Jadi, kami meyasarkan produk harga premium,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN