PETALING JAYA: Pengguna perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga antara 20 hingga 60 peratus sekiranya rasionalisasi subsidi dilaksanakan serentak dengan peningkatan gaji minimum, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, perkara tersebut berkemungkinan berlaku jika kedua-dua rasionalisasi subsidi diesel dan elektrik ditarik balik serta berlaku peningkatan gaji minimum secara serentak.
Katanya, perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) juga perlu menampung peningkatan kos akibat kenaikan Cukai Perkhidmatan, tarif elektrik, harga barangan mentah dan harga penghantaran.
“Walaupun kami faham rasionalisasi subsidi diperlukan, rasionalisasi ini perlu dilaksanakan secara berperingkat supaya kesan kenaikan kos kepada PMKS dapat dikurangkan.
“Sekiranya subsidi diesel dan elektrik ditarik balik, PMKS terutamanya dalam sektor pembuatan, akan melihat kenaikan kos antara tiga hingga lapan peratus.
“Oleh kerana keadaan ekonomi masih tidak menentu, margin keuntungan kebanyakan PMKS dalam sektor pembuatan adalah dalam digit tunggal. Kesan kenaikan kos ini mungkin menghapuskan keuntungan PMKS yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berharap, sekiranya kerajaan mengambil pendekatan untuk merasionalisasikan subsidi kedua-dua diesel dan elektrik pada tahun ini, tiada kos baharu seperti kenaikan gaji minimum akan dilaksanakan.
“Pihak industri tidak mungkin dan tidak mampu untuk menyerap kenaikan kos mendadak tatkala ekonomi sedunia dan permintaan tempatan masih lemah,” ujarnya.
Kerajaan dijangka akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bersasar menjelang separuh kedua tahun ini.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan telah penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu) pada Januari 2024 yang bakal memberikan kerajaan akses kepada data granular yang diperlukan untuk melaksanakan program bersasar seperti rasionalisasi subsidi mahupun reformasi kebajikan sosial.-UTUSAN