Ekonomi ASEAN+3 diunjur berkembang 4.5 peratus tahun ini

Ekonomi ASEAN+3 diunjur berkembang 4.5 peratus tahun ini

PERTUMBUHAN di rantau ASEAN+3 dijangka kekal teguh didorong permintaan domestik yang kukuh, peningkatan pendapatan isi rumah dan pemulihan aktiviti pelaburan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengunjurkan rantau ASEAN+3 berkembang pada 4.5 peratus tahun ini, meningkat daripada 4.3 peratus yang dicatat pada tahun sebelumnya, didorong permintaan domestik yang kukuh, peningkatan pendapatan isi rumah dan pemulihan aktiviti pelaburan.

Kumpulan ASEAN+3 merangkumi 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau Asean serta China, Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan.

Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3, jangkaan pemulihan dalam eksport disebabkan oleh kitaran naik cip global, dan pemulihan pelancongan berterusan yang mana memberi peluang tambahan.

Rantau ASEAN dijangka mendapat manfaat daripada gabungan faktor-faktor yang menggalakkan ini, dengan pertumbuhan pada 2024 dan 2025 diramalkan masing-masing pada 4.8 dan 4.9 peratus.

“Di samping itu, pertumbuhan di rantau ASEAN+3 dijangka kekal teguh masing-masing pada 4.3 dan 4.1 peratus, pada 2024 dan 2025.

“Dengan harga komoditi global yang terus stabil, inflasi di ASEAN+3 dijangka menjadi sederhana daripada 2.8 peratus tahun 2023, kepada 2.5 peratus pada 2024, sebelum susut lagi kepada 2.3 peratus pada 2025.

“Namun begitu, AMRO memberi amaran agar tidak mengambil mudah momentum positif rantau ini memandangkan potensi terdapat gangguan kepada trajektori pertumbuhan,” menurut laporan itu.

Ketua Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor berkata, unjuran semasa kini menunjukkan agak positif, memandangkan pertumbuhan yang teguh dan disinflasi secara beransur-ansur.

“Dengan mempertingkatkan kerjasama serantau boleh memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat berkenaan.
Justeru, ekonomi ASEAN+3 perlu membina semula ruang dasar sebanyak yang boleh.

“Bagaimanapun, kenaikan mendadak dalam harga komoditi global, pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan di China atau ketegangan geopolitik yang semakin memuncak boleh mengubah keadaan di rantau ini,” ujarnya.

AMRO juga menyeru ekonomi ASEAN+3 untuk bekerjasama lebih rapat sebagai tindak balas kepada tiga trend sekular utama iaitu penuaan, konfigurasi semula perdagangan global dan perubahan teknologi yang pesat.

Walaupun anjakan struktur ini menimbulkan pelbagai risiko, ia juga mewujudkan sumber pertumbuhan dan keuntungan produktiviti baharu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan AMRO, Allen Ng berkata, penuaan memberikan cabaran kritikal bagi rantau ASEAN+3.

“Oleh itu, menyesuaikan diri dengan ‘dividen jangka hayat’ ini dan membolehkan penduduk kita menua secara produktif akan menjadi penting untuk masa depan rantau ini,” katanya.

“Begitu juga dengan konfigurasi semula perdagangan yang berterusan, walaupun menimbulkan kebimbangan mengenai strategi eksport yang telah diuji masa di rantau ini, ia turut mewujudkan peluang baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN