PETALING JAYA: MIDF Research positif terhadap projek pembinaan stesen pemampat baharu Petronas Gas Bhd. (PetGas) di Jeram, Selangor yang bernilai RM650 juta kerana ia penting dalam pemulihan kos syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan pemampat gas dua unit untuk meningkatkan kapasiti rangkaian saluran paip Utiliti Gas Semenanjung (PGU) untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sebagai sebahagian daripada pengembangan PGU III.
“Kami menjangka projek ini dapat memenuhi peningkatan permintaan gas pada masa hadapan dari 2026 dan seterusnya.
“Kami positif terhadap perkembangan terkini kerana ia mengembangkan asas-aset terkawal (RAB) PetGas untuk Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) dalam tempoh tiga tahun (2026 hingga 2028) dan meningkatkan pendapatan mutlaknya,” katanya dalam nota penyelidikan.
Secara keseluruhannya, firma berkata, pihaknya memuji projek tersebut memandangkan ia adalah langkah untuk mengekalkan operasi masa depan PetGas di tengah-tengah tarif yang dijangka meningkat.
Selain itu, ia juga membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk gas bahan api bersih daripada industri dan sektor perladangan.
“Menunggu potensi tekanan pasaran minyak yang tidak menentu dan kesannya terhadap harga jualan purata untuk gas bahan api dalam jangka panjang, kami mengekalkan positif terhadap prospek PetGas dalam projek pembesarannya,” ujarnya.
MIDF Research tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan dan mengekalkan panggilan ‘beli’ pada PetGas dengan harga sasaran sebanyak RM19.37.
Pembinaan stesen pemampat di Jeram itu merupakan tambahan tiga projek baharu lain yang sepatutnya memacu pertumbuhan pendapatan PetGas di bawah pada 2026 hingga 2028.
Sebelum ini, PetGas meletakkan komited untuk untuk perbelanjaan modal tahun ini yang melebihi RM1.1bilion.
Antara projek yang menggunakan belanjaan tersebut iaialh loji janakuasa Sipitang, Sabah iaitu bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang mana berjalan mengikut jadual dengan sasaran tarikh operasi komersial (COD) pada 2026.-UTUSAN