PETALING JAYA: Nilai ringgit yang berterusan menyusut meletakkannya hampir ke paras terendah yang direkodkan pada 1998 semasa krisis kewangan Asia.
Menurut laporan Bloomberg, hanya 2 peratus lagi ringgit akan mencapai kadar 4.8850 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Semasa krisis kewangan Asia 1998, ringgit mencatatkan kadar terburuk pada 4.88 sehingga mendorong kerajaan campur tangan dengan menambat mata wang negara itu pada 3.80 berbanding dolar AS.
Langkah itu bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap ekonomi kepada negara.
Jelas Bloomberg, mata wang negara telah jatuh hampir 4.0 peratus pada tahun ini.
“Terdapat risiko ringgit akan mencapai paras rendah baharu sepanjang masa.
“Eksport Malaysia tidak pulih seperti negara-negara Asia yang lain dan pertumbuhan ekonomi mungkin kekal lemah,” kata Ketua Penyelidikan Asia di Australia and New Zealand Banking Group (ANZ), Khoon Goh.
Menurut laporan itu lagi, kejatuhan ekonomi China telah merugikan eksport negara yang menurun untuk bulan ke-10 berturut-turut pada Disember.
Nisbah terhadap produk domestik kasar jatuh hampir ke paras terendah dalam 20 tahun, telah menyekat sokongan terhadap mata wang ringgit walaupun Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa.
Selain itu katanya, pengecutan eksport juga telah memberatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Prospek ringgit kelihatan suram apabila ditambah kebimbangan mengenai kestabilan politik selepas dakwaan cubaan menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kekuatan berterusan dolar AS,” katanya.
Menurut analisis teknikal Bloomberg, ringgit mencatatkan kadar 4.7958 (berbanding dolar) pada Oktober, merupakan yang terendah sejak 1998.
Katanya, penurunan melebihi tahap itu mungkin akan menarik perhatian kepada julat ringgit-per-dolar 4.82 hingga 4.85.
Ahli strategi mata wang di Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) Singapura, Christopher Wong berkata, ringgit akan berterusan menyusut jika dolar AS terus meningkat, sama ada disebabkan oleh penolakan lanjutan dalam kitaran pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) atau peristiwa risiko yang lebih besar.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan analisis meramalkan ringgit akan lebih kuat pada akhir tahun ini apabila pertumbuhan ekonomi Malaysia mendapat momentum.
Antaranya, OCBC Bank melihat mata wang negara akan pulih kepada 4.60 berbanding dolar, manakala ANZ meramalkan ringgit pada tahap 4.45.
Mengulas perkembangan itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, penurunan ringgit boleh memberi manfaat kepada eksport negara.
Pada masa yang sama, katanya, ia mampu menarik kemasukan pelabur asing untuk melabur di dalam negara.
Katanya, perkara itu akan memberikan kemungkinan besar kepada nilai ringgit untuk kembali stabil semula pada pertengahan hingga hujung tahun ini.
“Apabila ramai pelabur datang melabur atau ada pelaburan baru terutama dari syarikat-syarikat ternama dan gergasi, ia akan memberikan keyakinan kepada dunia luar bahawa Malaysia terus memperkasakan ekonominya serta skenario politik bertambah baik dan mantap,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit hari ini ditutup pada kadar 4.7820 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat daripada kadar 4.7765 pada Jumaat lalu.
Bagi Bursa pula, ditutup tinggi sedikit pada 1,538.61 naik 5.06 atau 0.33 peratus daripada 1.533.55 pada Jumaat.
Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 554 kaunter berbanding 447, manakala 459 kaunter tidak berubah dan 838 lagi tidak diniagakan. – UTUSAN