DISAJIKAN dengan kehijauan alam dengan pemandangan menarik dari 330 meter dari paras laut, Rafflesia @ Hill 2 di Damansara Perdana semestinya dapat menawarkan ketenangan dalam kesibukan kota.
Projek yang dibangunkan oleh M K Land Holdings Berhad (M K Land) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM76.1 juta itu melibatkan 24 unit rumah berkembar tiga tingkat.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, projek tersebut menawarkan kediaman berukuran antara 3,655 hingga 3,879 kaki persegi pada harga bermula pada dari RM3 juta hingga RM3.4 juta.
Katanya, kediaman mewah atas bukit tersebut didatangkan dengan lima tambah dua bilik tidur dengan enam bilik air serta tiga tempat meletak kereta.
“Pembangunan ini disasarkan kepada golongan professional, pemilik perniagaan dan pemilik rumah yang ingin menaik taraf jenis kediaman mereka.
“Selain itu, reka bentuk dan ruangnya yang luas juga sesuai kepada mereka yang tinggal dengan keluarga pelbagai generasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, Rafflesia @ Hill 2 didatangkan bersama kawalan keselamatan, di samping mempunyai taman dengan keluasan 0.73 hektar yang disertakan dengan kelengkapan seperti taman permainan kanak-kanak dan taman herba.
Ahmad Soalahuddin berkata, pembangunan ini juga disertakan dengan “Felina Ladder” yang mempunyai 285 anak tangga yang menuju ke taman yang berkeluasan 3.2 hektar yang dikelilingi dengan tasik beserta trek joging.
“Setakat ini, sebanyak 71 peratus telah habis terjual dengan jumlah RM54 juta. Sementara itu, 13 peratus lagi sudah ditempah dari jumlah keseluruhan unit,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan tersebut terletak di lokasi yang strategik iaitu berhampiran dengan lebuhraya utama serperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP,) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Rafflesia @ Hill 2 juga mudah diakses melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
Selain itu, projek yang dijangka siap pada hujung tahun ini juga berada berdekatan dengan pusat beli-belah seperti 1 Utama, The Curve, IKEA dan banyak lagi. – UTUSAN