Permotoran: TRIUMPH Tiger 900GT Aragon Edition

TRIUMPH Tiger 900GT Aragon Edition

VERSI Triumph Tiger terkini. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN motosikal versi kembara sama ada lebih dikenali sebagai adventure atau dual purpose, sering diperkenalkan model-model terbaharu setiap tahun terutamanya apabila pameran motosikal terbesar dunia seperti Eicma di Milan, Itali.

Triumph Tiger adalah satu daripada jenama motosikal yang tidak ketinggalan menghasilkan model-model kembaranya sama ada dengan enjin berkuasa tinggi sehingga 1200cc, malah turut menghasilkan model ‘pertengahan’ seperti 800cc.

Akibat daripada peningkatan populariti dan permintaan dalam pasaran, Triumph sekali lagi menghasilkan versi penambah baik pada model Tiger kelas pertengahan ini untuk disajikan kepada para peminatnya. Maka terlanjur pula dengan kejayaan pelumba Ivan Cervantes yang menjuarai perlumbaan Baja Aragon 2022 dahulu dengan menunggang Tiger 900 Rally Pro yang mana beliau menamatkan perlumbaan sejauh 450 km dengan meninggalkan pesaing terdekatnya selama 1 jam 6 minit! Mengambil kejayaan besar pelumba tersebut, satu edisi khas memperingati kejayaan tersebut telah dihasilkan dan inilah versi yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia!

Ikuti hasil tunggang uji saya terhadap TRIUMPH TIGER GT 900 ARAGON EDITION.

 

TAMPAK lebih serius, lebih fokus

REKA BENTUK FIZIKAL

Terus terang saya katakan, walaupun ia mirip model Triumph Tiger yang telahpun berada di pasaran, namun varian kali ini tampak lebih ‘serius’, lebih ‘ganas’ serta lebih fokus terhadap tujuan pembuatannya.

Penggunaan gabungan warna Merah, Matt Phantom Black dan putih kristal menampakkan kelainan utama pada jentera ini. Penampakan perkataan GT Aragon di panel penghadang lumpur hadapan turut seperti mahu mengesahkan kehadiran model hebat ini dalam pasaran tempatan.

Penyerap hentakan terbalik (boleh dilaras sepenuhnya) jenis Marzocchi berdiameter 45mm, lampu suluhan dalam kabus, dan besi dan plat pelindung sisi dan bawah enjin, memberikan kelainan pada model ini. Sungguhpun mula tiba di perairan Malaysia pada hujung tahun lepas, ia masih belum banyak kelihatan di jalan raya-jalan raya tempatan. Mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan kewujudannya atau pun masih tidak mengetahui kehebatan jentera ini berbanding jentera kembara lain.

Setelah menilik suspensi hadapan yang menggiurkan itu, saya terpandang pula kaliper brek berjenama BREMBO STYLEMA Monoblok 4 piston berkembar. Dari satu segi, jenis kaliper brek ini sememangnya antara jenama dan model yang digilai oleh peminat motosikal termasuk saya. Namun begitu, ia turut merisaukan saya untuk parkir motosikal ini di kawasan-kawasan awam kerana jenama Brembo bukan sahaja berharga ribuan ringgit, malah ia menjadi pilihan utama para pencuri durjana.

Bahagian tangki bahan api tampak besar dan tinggi, malah memiliki keupayaan untuk mengisi bahan api sebanyak 20 liter untuk satu isian penuh. Ini sekaligus memberi keyakinan untuk saya ‘membelah’ lebuh raya dari KL terus ke Selatan atau Utara tanah air dengan hanya sekali singgah untuk pengisian semula.

Roda hadapan bersaiz 19 inci di hadapan menjanjikan pengendalian yang baik ketika atas laluan tanpa tar atau ‘off road’ tetapi fakta yang mampu membuat kening saya terangkat adalah penggunaan tayar METZELER TOURANCE sangat memberi keyakinan untuk saya ‘belasah’nya di selekoh-selekoh yang bakal dilalui dalam sesi tunggang uji ini nanti.

PARUH harus ada untuk motosikal kembara.

PENUNGGANGAN

Pertama sekali, posisi kedudukannya seperti dijangka di atas mana-mana motosikal berkonsepkan ‘adventure’. Kedudukan yang menegak, dan sudah pasti membolehkan saya menunggang berjam-jam.

Walaupun pelananya saya rasakan empuk dan sekurang-kurangnya mampu membuat saya menunggang lebih daripada sejam dua secara langsung, saya rasakan pelana ini agak lebar pada bahagian bawah peha. Ini tidak memberikan saya sebarang masalah terutama dari segi keupayaan untuk saya menjejakkan kaki dengan baik pada permukaan bumi. Namun saya yakin faktor ini mungkin menyebabkan para penunggang yang mungkin kurang daripada 170cm akan sedikit terjungkit ketika posisi statik.

Begitu pun, saya mendapati, pelananya yang boleh diasingkan kepada dua bahagian (penunggang dan pembonceng), serta kedua-duanya boleh ditanggalkan dengan mudah. Saya mendapati terdapat sebatang besi untuk melaras kedudukan pelana (boleh direndahkan dalam lingkungan beberapa cm).

Penunggangan di lebuh raya sangat memudahkan dengan sistem suspensi yang baik di hadapan, serta suspensi ‘monoshock’ di belakang yang berkeupayaan dilaras secara elektronik mengikut pemilihan mod enjin. Bagi versi GT Pro, anda boleh memilih 5 mod penunggangan iaitu; sport, hujan, jalan raya, offroad dan rider (pelarasan mengikut selera dan kemahuan penunggang).

Pelarasan mengikut keberadaan penunggang juga boleh dipilih (solo atau bersama pembonceng). Bantuan penunggangan elektronik tidak terhenti setakat itu sahaja. Saya mendapati Tiger Aragon edition ini juga berkeupayaan dikendali dengan “cornering ABS”, iaitu penggunaan brek dalam keadaan meleper/mereng/ dalam korner dengan perlarasan automatik terhadap kekuatan kaliper tersebut membrek. Sistem komputernya mengesan kedudukan fizikal motosikal tersebut sama ada ia dalam keadaan menegak atau mengiring iaitu keadaan sesebuah motosikal dalam selekoh.

Keupayaan sistem pengawalan cengkaman (Traction Control) juga saya rasakan dalam keadaan terbaik apabila pelarasan pendikit dilakukan mengikut kebolehan ECUnya mengecam kedudukan motosikal.

Selain daripada keupayaan enjin yang dikatakan menghasilkan 10 peratus kuasa tambahan pada kuasa tujahannya dan 9 peratus tambahan pada tork berbanding dengan model sebelum ini, saya mendapati, enjinnya dicondongkan ke hadapan lebih sedikit dan kedudukan enjin yang lebih rendah ke bumi tanpa mengkompromi ruang kelegaan enjin dengan muka bumi bagi membolehkan pengambilan selekoh lebih efisien dan penunggangan atas laluan beralun-alun.

METER TFT- terang, jelas dan boleh diubah warna dan rekaan papan pemukanya.

KESIMPULAN

Agak terlalu banyak yang ingin saya sampaikan dalam ruangan yang terhad ini, namun apa yang boleh saya rumuskan, ia adalah jentera kembara tegar untuk peminat yang inginkan sebuah motosikal yang benar-benar serius dalam kategori ini.

Seperkara lagi yang harus saya katakan ialah harga jualannya yang sangat mengujakan iaitu RM81,000 tanpa cukai jalan, insurans atau pendaftaran. Berbanding dengan saingan-saingannya sama ada dari Austria, Jerman atau Jepun, Triumph Tiger 900GT Aragon Edition boleh menghasilkan prestasi sama baik tanpa dipasarkan pada harga ratusan ribu ringgit.

Datang dan lawat ruang pamer Triumph Motorcycle di Motoplex Petaling Jaya untuk menunggang uji sendiri tentang kelebihan-kelebihan yang telah saya perkatakan dalam artikel ini. – UTUSAN

 

SPESIFIKASI

ENJIN DAN TRANSMISI

JENIS SEJUKAN CECAIR, 12 INJAP, DOHC, SILINDER BERKEMBAR 3 SELARI
KAPASITI ENJIN 888CC
KUASA MAKSIMUM 95.2PS  / 93.9 bhp (70 kW) @ 8,750 rpm
TORK MAKSIMUM 87 Nm @ 7,250 rpm
EKZOS 3 ke 1
KOTAK GEAR 6 kelajuan

 

DIMENSI

RODA HADAPAN 100/90-19
RODA BELAKANG 150/70R17
SUSPENSI HADAPAN JENAMA: Marzocchi 45mm (jenis terbalik)boleh dilaras kekenyalan, penyerapan dan pantulan
SUSPENSI BELAKANG JENAMA: Marzocchi, pelarasan secara manual dan elektronik
SISTEM BREK Cakera berkembar 320mm “floating”, kaliper 4 piston monoblok Brembo Stylema. (Hadapan)

Cakera tunggal 255mm. Kaliper tunggal jenama Brembo (belakang).

 

KAPASITI TANGKI BAHAN API 20 liter

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya