PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini di tengah-tengah pasaran yang tidak menentu mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah, kata pakar ekonomi.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.04 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7130/7180 berbanding dolar AS daripada penutup 4.7145/7200 semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat tarikan antara pasaran dan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai masa pemotongan kadar.
Menurutnya, kebarangkalian pemotongan Kadar Dana Fed pada Mac berdasarkan pasaran derivatif turun kepada 57.2 peratus daripada 73.6 peratus seminggu lalu.
“Satu perkara yang pasti, terdapat peningkatan yang berlebihan dengan menjangkakan penurunan kadar membawa kepada harga aset yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama kecuali euro, apabila ia susut kepada 5.1343/1398 daripada 5.1284/1344 pada penutup semalam.
Ringgit juga lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.9770/9834 daripada 5.9799/9868, dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1849/1885 daripada 3.1919/1959 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga dibuka lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.2790/3003 daripada 13.2795/3010 pada penutup semalam, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.7 daripada 301.3/301.8.
Ringgit bagaimanapun rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.5083/5122 daripada 3.5081/5127 semalam, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.43/8.45. – UTUSAN