PNM jadi 'sekolah', peniaga berpakaian seragam - Utusan Malaysia

PNM jadi ‘sekolah’, peniaga berpakaian seragam

PARA peniaga PNM mengayakan pakaian seragam bagi tema ‘Back To School’ bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Lorong Cendol di Bandar Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Lorong Cendol di tengah-tengah bandar ini bertukar menjadi kawasan ‘sekolah’ apabila para peniaga  Pontian Night Market (PNM) menggayakan pakaian seragam sekolah.

Tema tersebut dilakukan sempena musim cuti persekolahan sebagai salah satu cara bagi menarik lebih ramai pengunjung ke PNM yang menjual pelbagai produk  oleh 40 peniaga.

Menurut penganjur PNM, Syahidah ‘Aqilah Muhammad Mashar, 28, semua 40 peniaga mengayakan pakaian sekolah termasuk sebagai pengawas, ketua pengawas dan sebagainya.

Katanya, PNM yang dibuka pada Mei tahun lalu merupakan usaha bagi menghidupkan bandar Pontian pada waktu malam  yang kini bersaing dengan Bandar Baru Pontian atau Tambak.

Menurut Syahidah ‘Aqilah, pemilihan tema ‘Back To School’ bagi mengimbas kembali zaman persekolahan  yang mempunyai pelbagai  ragam dan kerenah para pelajar pada ketika itu.

“Aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak umur antara enam, sembilan dan 12 tahun yang disertai oleh anak-anak peniaga dan pengunjung  yang datang ke PNM ini,” katanya.

Menurutnya, daripada tujuh peserta pada peringkat awal, para peniaga PNM kini  bertambah ramai yang menjual pelbagai barangan seperti aksesori wanita dan lelaki, makanan dan pencuci mulut, zoo mini dan ikan laga.

“PNM yang beroperasi pada setiap hari Khamis hingga Ahad bermula dari pukul  8 malam hingga 12 tengah malam boleh diibaratkan seperti bazar karat mini di Pontian,” katanya.

Katanya, warga Pontian tentu mengetahui nostalgia Lorong Cendol sejak 60 tahun lalu yang kini telah diperindahkan  dengan lukisan mural oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

“Pada minggu depan, kami telah memilih tema ‘ klasik’ dan menjemput orang ramai turut bersama-sama menjayakan program ini dengan menggayakan pakaian lama masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya