PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan membuat pengumuman Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan baharunya dalam masa terdekat susulan peletakan jawatan Ahmad Zulqarnain Onn.
Menurut kenyataannya, peletakan jawatan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa 16 Februari 2024.
Setelah lebih daripada tiga tahun bersama PNB, Ahmad Zulqarnain Onn akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda melahirkan penghargaan kepada Ahmad Zulqarnain yang akan meninggalkan PNB.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan di PNB, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Zulqarnain atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada PNB, ASNB dan Kumpulan syarikat PNB sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini.
“Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam menyusun pelan strategik tiga tahun yang baharu dan mengemudi PNB ke arah meningkatkan pulangan portfolio, ketangkasan operasi dan memperkukuh keupayaan organisasi.
“Ini untuk menjadikan organisasi progresif dan bertindak balas secara berkesan kepada cabaran yang dinamik. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam peranan baharunya,” katanya.-UTUSAN