Permotoran: SUZUKI V-Strom 800DE persamaan hanya pada nama - Utusan Malaysia

Permotoran: SUZUKI V-Strom 800DE persamaan hanya pada nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUZUKI masih diminati oleh peminat dua roda tempatan, terutamanya terhadap motosikal Raider 150 (lebih dikenali de­ngan nama lama iaitu BELANG). Nama GSX juga tetap menjadikan peminatnya gemuruh untuk melihat rekaan terbaharu setiap tahun. Varian V-Strom pula, cukup terkenal bagi peminat motosikal adventure atau lasak yang membolehkan penunggangnya me­nunggang dalam apa jua bentuk permukaan jalan atau perjalanan jarak jauh (OVERLANDER) yang berkeupayaan merentas sempadan luar negara.

V-Strom untuk 2023 dilihat menghasilkan sedikit perubahan pada konsep enjinnya. Ia tidak lagi berkonsepkan enjin berkembar V, dan digantikan dengan sistem enjin yang lebih umum iaitu enjin berkembar selari (Paralel Twin).

Ayuh kita terus mengupas keberadaan SUZUKI V-STROM 800DE ini.

Skim warna yang menarik perhatian.

REKA BENTUK FIZIKAL
Melihatnya dari jauh, tiada apa beza sangat dengan mana-mana motosikal lasak atau tourer yang ada di pasaran. Motosikal yang tinggi, handel pemegang yang menegak, mempunyai bahagian seperti ‘paruh burung’ di hadapan, roda hadapan bersaiz 21 inci lengkap dengan tayar ‘jagung’ dan mempunyai skrin pelindung angin yang tinggi.

Daripada senarai ini, SUZUKI V-Strom 800DE ini menepati ciri-ciri sebuah motosikal lasak. Mo­del yang diberikan untuk tunggang uji ini berwarna agak ‘melampau’ sedikit iaitu kuning­ terang bersulam dengan biru pekat. Skim warnanya sahaja sudah menarik perhatian pengguna jalan raya yang lain. Apatah lagi kalau berhenti di restoran-restoran atau warung-warung tepi jalan.

Skrin pelindung anginnya walau sedikit kecil dan rendah, ia boleh dilaras tetapi hanya secara manual dan menggunakan peralatan. Ini antara sifat jentera V-Strom yang bagi saya tidak menepati keinginan pasaran. Skrin ini boleh direka dengan perubahan kedudukan skrin yang hanya memerlukan sama ada sistem kunci yang boleh dilaras dengan hanya menarik/memulas tombol atau tuil, atau juga sistem skrin yang boleh dilaras secara menarik atau menolaknya ke bawah.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah jarak antara skrin pelindung angin tersebut agak jauh kedudukannya terhadap handel bar dan sekaligus tidak terus tepat ke bahagian yang sepatutnya dilindung seperti dada atau kepala (helmet) penunggang.

Hanya dengan berdasarkan pemerhatian saya, daripada reka bentuk dan kedudukan skrin ini, saya menjangkakan aruhan angin dari hadapan sudah tentu lebih banyak berpusar di hadapan penunggangnya akibat daripada jarak yang jauh antara skrin dan penunggang. Saya yang berke­tinggian 6 kaki ini terasa akan skrin yang harus saya capai memerlukan saya sedikit meregangkan lengan saya ke hadapan.

Tangki bahan apinya tampak besar dan sesungguhnya ia mempunyai isipadu yang agak besar iaitu 20 liter. Keadaan ini cukup menarik untuk penunggangan jarak jauh, dan saya yakin, sekiranya anda menunggang pada kelajuan yang sekata seperti dalam lingkungan 110/kmj, anda mungkin hanya perlu mengisi sekali sahaja dalam perjalanan anda dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Penggunaan lampu hadapan jenis bertingkat semakin menjadi trend.

PENUNGGANGAN
V-Strom 800DE ini berkongsi jentera yang sama dengan GSX-8S, dan dengan fakta ini dapatlah kita jangkakan pengambilan langkah penjimatan tentang kos produksi motosikal-motosikal daripada Suzuki.

Namun begitu, walau berkongsi enjin dan konsepnya yang telah ditukar daripada silinder V berkembar ke kembar selari, jentera ini boleh anda ubah mengikut ‘keperluan kuasa’ yang anda mahu daripada pemilihan Mode penunggangan. Sebagai contoh, Mode A (ACTIVE), respons pendikit yang dapat anda rasa sebaik sahaja memulasnya membolehkan pecutan yang kuat dari keadaan statik. Dalam Mode B (BASIC) pula, curahan tenaga daripada tahap rendah agak lebih lemah sedikit daripada Mode A tetapi masih memberikan sedikit tujahan yang baik dan agak bersesuaian untuk penunggangan dalam bandar dan harian. Sementara bagi Mode C (COMFORT), membolehkan anda menunggang dalam keadaan lebih teguh dan selesa terutama melalui jalan basah dan licin atau dalam hujan.

V-Strom 800DE ini juga didatangkan dengan sistem bantuan pendikit iaitu TI-ISC (Throttle body Intergrated Idle Speed Control). Sistem ini membantu mengekalkan penalaan enjin terutama ketika melepaskan tuil klac untuk bergerak daripada keadaan statik. Sistem ini juga membantu ketika penunggangan pada kelajuan yang sangat rendah, sebagai contoh, menunggang dalam keadaan permukaan yang berpasir atau berbatu. Sistem ini dapat membantu mencegah enjin daripada termati secara tiba-tiba akibat kesilapan penunggang mengimbangi penggunaan klac dan pertukaran gear rendah, terutama kepada penunggang-penunggang baharu.

Penunggangan di lebuh raya agak rileks dan menyenangkan yang mana kelajuan tinggi amat mudah dan cepat dicapai dan kebolehan bergerak dalam kelajuan ‘melahu’ sekitar 140/kmj untuk jangka masa yang lama adalah sangat mudah dan senang.
Tunggangan di jalan tidak berturap atau pun off-road, tidak menjadi masalah kepada V-Strom ini kerana jarak ketinggian yang mencukupi antara permukaan dan bahagian bawah enjinnya. Roda hadapan yang bersaiz 21 inci memainkan faktor yang amat menarik ketika penunggangannya di permukaan bumi seperti ini. Handel terasa ringan dan agak mudah untuk mengemudi di laluan mencabar ini.

Bagi peminat motosikal lasak, rekaan ini sangat menarik.

KESIMPULAN
Walau curahan kuasanya tidak pula berkurangan akibat pertukaran konsep enjin dari V berkembar ke berkembar selari, namun versi 2023 ini saya rasakan sedikit ‘gemuk’ dan memberikan gambaran bahawa V-Strom in bakal menyusahkan saya ketika menunggang atas permukaan off road. Cuma, saya kurang pasti kenapakah masih menggunakan nama V-Strom tersebut.

Apapun, walau masih banyak lagi yang boleh saya kupas untuk jentera Suzuki V-Strom 800DE ini, namun kekurangan ruang tidak mengizinkan saya untuk bercerita dengan lebih panjang lagi tentang keseronokan menunggang V-Strom 800DE.

Sebagai kesimpulan, dengan harga jualan RM60,800 sebelum kos cukai jalan, insurans dan pendaftaran, boleh dikatakan berada dalam kumpulan yang agak ‘kayangan’ dan anda harus menilai dengan teliti harga berbanding kelebihan yang disertakan dengannya. Kata orang ‘alah membeli, menang memakai’.  – UTUSAN

SPESIFIKASI

ENJIN
JENIS                                                    
4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC

KAPASITI                                             776 cm3

GEREK X LEJANG                              84.0 mm x 70.0 mm

NISBAH KOMPRESI                          12.8 : 1

SISTEM BAHAN API                         Suntikan bahan api
SISTEM PENGHIDUP                       Elektrik

TRANSMISI                                         6 kelajuan

SUSPENSI                                            Teleskopik terbalik (hadapan)

Tunggal dan boleh laras

SISTEM BREK                                      Cakera berkembar (hadapan)

Cakera tunggal (belakang)

RODA                                                    90/90-21M/C 54H (hadapan)

150/70R17M/C 69H (belakang)

KAPASITI TANGKI BAHAN API    20.0 L

KAPASITI MINYAK ENJIN              3.9 L

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya