LBS sasar jualan hartanah RM1.8b tahun ini

LBS sasar jualan hartanah RM1.8b tahun ini

LIM Hock San (empat dari kiri) pada Taklimat Media LBS tahun 2024 di ibu pejabatnya, LBS Seri Setia, Petaling Jaya, Selangor, semalam.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) menjangkakan 2024 lebih positif dengan sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion, lebih tinggi daripada RM1.7 bilion yang dicapai pada tahun lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, jualan 2023 rendah daripada sasaran RM2 bilion disebabkan penangguhan tiga projek utama, iaitu pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands, Centrum Iris di Cameron Highlands dan SkyRia di Puchong.

Katanya, ketiga-tiga projek ini lewat mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa setelah perlu melalui syarat-syarat yang lebih ketat kerana terletak di kawasan tanah tinggi.

“Pada masa sama, kami optimis mampu mencapai sasaran tahun ini dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus, manakala kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk merancakkan ekonomi termasuk pengecualian visa pelancong bagi warga China dan India.

“Setakat 31 Disember lalu, kami memiliki RM1.18 bilion hartanah yang tersedia untuk dijual, ditambah jangkaan pelancaran bernilai RM2.33 bilion tahun ini menjadikan nilai hartanah tersedia untuk dijual berjumlah RM3.51 bilion.

“Sekiranya kami berjaya menjual 60 peratus daripada jumlah ini, nescaya kami akan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat bersama media di ibu pejabat LBS di sini, semalam.

Sebagai perbandingan, LBS telah melancarkan 4,358 unit bernilai RM1.67 bilion pada 2023.

Pelancaran bagi 2023 merangkumi pembangunan di seluruh KITA Bestari di perbandaran KITA @ Cybersouth, rumah teres Astella di D’Island Residence, Puchong dan Blok B LBS Prestige Residence di Seri Kembangan.

Kumpulan telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan 10 buah projek baharu  di Lembah Klang, Johor dan Pahang tahun ini merangkumi 4,858 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.33 bilion.

“Ini berbanding pelancaran sebanyak 4,358 unit bernilai RM1.67 bilion pada 2023. Kini, LBS mempunyai 19 projek pembangunan yang sedang berjalan, dengan anggaran GDV sebanyak RM 5 bilion,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2023, simpanan bank tanah LBS meliputi kawasan seluas 1,119 hektar, suatu jumlah yang dijangka akan meletakkan LBS kekal berdaya saing bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Sementara itu, Kumpulan mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM1.99 bilion, memastikan jumlah jangkaan pendapatan yang jelas dan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya