PORT DICKSON: Lebih banyak produk pelancongan dan lokasi menarik diwujudkan di Port Dickson pasti membantu merancakkan lagi industri perhotelan di daerah ini.
Pengarah Kanan Jualan Kumpulan Hotel Lexis, Zefry Rasdi berkata, pemain industri perhotelan sudah pasti akan menyambut baik sebarang usaha kerajaan bagi menjadikan Port Dickson terus sebagai lokasi tumpuan pelancong.
Menurutnya, ia juga sejajar dengan usaha pihak hotel bagi menarik kedatangan pelancong menginap di hotel masing-masing khususnya selepas pandemik Covid-19.
“Ketika kami mula beroperasi sekitar tahun 2015, pelancong yang menginap di hotel kami (Lexis Hibiscus) di sini terpaksa ke bandar Port Dickson bagi mengunjungi tempat menarik.
“Namun apabila beberapa produk baharu pelancongan diwujudkan di kawasan berdekatan, mereka tidak perlu pergi jauh. Lebih banyak tempat melancong merupakan perkembangan baik buat pemain industri,” katanya kepada pemberita pada Karnival Countdown Neon Circus di Lexis Hibiscus, Pasir Panjang di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut beliau, Kumpulan Hotel Lexis kini dalam perancangan untuk membina Lexis Hibiscus 2 yang terletak di kawasan bersebelahan hotel sedia ada yang dijangka mampu menawarkan sehingga lebih 1,000 buah bilik.
“Ia akan menawarkan konsep serupa seperti Lexis Hibiscus sedia ada, ia bagi memberi lebih banyak kemudahan kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Sementara itu, lebih 2,000 orang tetamu Lexis Hibiscus Port Dickson diraikan pada karnival tersebut yang diadakan sempena sambutan tahun baharu 2024.-UTUSAN.