Pekerja, majikan mampu capai menang-menang

Bual Bicara: Pekerja, majikan mampu capai menang-menang

PEKERJA perlu meningkatkan kemahiran untuk memastikan mereka kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang kini berasaskan teknologi dan digital. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANDSKAP pekerjaan sering kali berdepan perubahan seiring dengan perkembangan teknologi moden. Peningkatan kemahiran dalam kerjaya merupakan faktor pemangkin kepada pertumbuhan dan kejayaan individu selain dilihat mampu memupuk hubungan yang menguntungkan antara majikan dan pekerja.

Dalam industri pekerjaan yang seringkali berubah kepada satu keadaan yang di luar jangka, keupayaan untuk menyesuaikan diri dan memperoleh kemahiran baharu kini menjadi keutamaan. Dalam dunia pekerjaan yang serba dinamik ini, peningkatan kemahiran berfungsi sebagai penggerak kepada peningkatan kerjaya bagi setiap individu.

Kelebihan  kepada pekerja
Sering kali kita mendengar bagaimana peningkatan kemahiran ini memberi manfaat kepada majikan. Dalam dunia pekerjaan hari ini, peningkatan kemahiran bukan lagi sekadar kelebihan yang dimiliki individu tetapi menjadi faktor penting kepada sebahagian daripada kehidupan profesional. Berikut adalah bagaimana ia memberikan faktor positif kepada majikan.

Keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini
Laporan Forum Ekonomi Dunia meramalkan bahawa separuh da­ripada tugas dalam bidang pekerjaan semasa akan digantikan dan dilakukan oleh mesin atau alatan menjelang tahun 2025.

Memandangkan teknologi ber­kembang dengan pesat pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, penting bagi setiap pekerja untuk sentiasa mempelajari kemahiran baharu seiring dengan perkembangan perisian dan peralatan teknologi. Ia membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan memanfaatkannya secara maksimum bagi memastikan mereka terus kekal relevan dalam dunia pekerjaan berasaskan digital.

Peningkatan kepuasan dalam pekerjaan
Kepuasan pekerja dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk kadar gaji, keseimbangan antara kerja-kehidupan (work-life ba­lance), persekitaran kerja, dan peluang terhadap pembangunan kemahiran.

Laporan State of the Workplace 2023 Gallup mendapati bahawa lebih separuh daripada pekerja yang sudah memiliki pekerjaan masih lagi mencari peluang pekerjaan baharu secara aktif mahupun pasif. Faktor utama yang dilihat oleh pekerja pada pekerjaan yang dicari ialah kenaikan gaji, keseimbangan antara kerja-kehidupan yang lebih baik dan peluang terhadap peningkatan kerjaya.

Peningkatan kemahiran ialah cara terbaik untuk majikan me­nunjukkan kepada para pekerja bahawa mereka dihargai dan mempunyai matlamat perkembangan kerjaya yang jelas. Perkara ini seterusnya akan meningkatkan semangat dan kepuasan dalam pekerjaan.

Laluan peningkatan kerjaya yang lebih jelas
Para majikan cenderung memilih individu yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan terkini yang mampu memenuhi permintaan berkaitan keperluan perniagaan mereka. Dengan mempersiapkan diri dengan pe­ningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling), kebolehpasaran pekerja akan lebih tinggi dan mereka mempunyai peluang terhadap peningkatan kerjaya dan memiliki jawatan dengan kadar gaji yang lebih tinggi.

Kebaikan kepada majikan
Meskipun peningkatan kemahiran ini memberikan impak positif kepada para pekerja, terdapat segelintir majikan merasa bimbang sekiranya pekerja yang telah melalui latihan peningkatan kemahiran ini akan mening­galkan organisasi mereka satu hari nanti. Namun, perlu dilihat bahawa pelaburan terhadap perkembangan profesional merupakan pelaburan yang bakal memberikan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Kadar pengekalan pekerja yang lebih baik
Tinjauan daripada Better Buys mendapati bahawa perniagaan yang menyokong pembangunan profesional pekerja mengalami kadar pengekalan pekerja seba­nyak 34 peratus lebih tinggi berbanding organisasi yang tidak melakukannya.
Kajian yang sama juga mendapati bahawa pekerja yang mempunyai akses kepada peluang pembangunan profesional adalah 15 peratus lebih melibatkan diri ketika di tempat kerja. Peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula, disokong oleh penglibatan pekerja, meningkatkan kepuasan kerja dan kesetiaan pekerja.

Meningkatkan pulangan pelaburan (ROI)
Memupuk budaya pem­belajaran berterusan dan pengkhususan sumber kepada pembangunan pekerja boleh memberikan hasil perniagaan yang positif untuk organisasi. Meskipun terdapat cabaran untuk mengukur setiap kewangan yang dilaburkan secara langsung, program peningkatan kemahiran dapat menyumbang ke arah pembinaan keyakinan dalam organisasi kerana ia menyediakan pelan tindakan yang jelas dan nyata.

Melatih semula pekerja dengan melengkapkan diri mereka dengan trend semasa dan yang baharu juga menyumbang kepada organisasi yang lebih berdaya tahan. McKinsey menekankan bagaimana latihan semula tenaga kerja adalah kunci kepada orga­nisasi yang berkembang maju selepas pandemik.

Menarik minat bakat baharu
Melabur dalam pembangunan pekerja dan kemajuan kerjaya bukan sahaja akan meningkatkan semangat pekerja tetapi juga mampu mengubah mereka menjadi penyokong kuat kepada jenama organisasi. Apabila pekerja berasa dihargai, mereka lebih cenderung untuk mengesyorkan organisasi kepada rangkaian mereka, termasuk rakan, bekas rakan sekerja dan keluarga, dengan itu meluaskan kumpulan bakat untuk pengambilan pekerja pada masa hadapan.

Rumusan
Kesimpulannya, peningkatan kemahiran adalah situasi menang-menang dan menguntungkan antara kedua-dua majikan dan pekerja. Dengan melabur dalam peningkatan kemahiran, majikan boleh memastikan pertumbuhan dan pembangunan berterusan tenaga kerja mereka, kekal berdaya saing dalam pasaran, dan menunjukkan sokongan mereka dalam hal pertumbuhan pekerja.

Pada masa yang sama, pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi boleh meningkatkan prestasi kerja, maju ke arah matlamat kerjaya mereka dan menjamin masa depan dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Oleh itu, adalah penting bagi perniagaan untuk mengutamakan peningkatan kemahiran sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan bakat mereka untuk mencapai kejayaan jangka panjang.

MELISSA NORMAN Pengasas dan Pengarah Urusan Aisling Group – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya