PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah mengekalkan penarafan “overweight” pada sektor penerbangan dan jangkaan 2024 akan menyaksikan pertumbuhan pendapatan selanjutnya bagi sektor itu selepas pemulihan tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor tersebut akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan perjalanan udara, terutamanya segmen antarabangsa yang dipacu oleh China dan India, seiring dengan pengembalian operasi semula pesawat untuk menampung permintaan yang lebih tinggi.
Tambahan pula, katanya, jangkaan susut nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan penurunan harga bahan api jet akan meningkatkan keuntungan sektor berkenaan.
Katanya, apabila aktiviti global dan keperluan perjalanan antarabangsa menjadi normal, ia menyaksikan pengejaran yang kukuh untuk permintaan perjalanan serantau ASEAN pada mulanya, manakala perjalanan antarabangsa (bukan ASEAN) mula meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Untuk 2024, kami menjangkakan pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh segmen pelancongan antarabangsa memandangkan kelonggaran keperluan visa untuk sektor China dan India, seterusnya mempercepatkan peningkatan dalam campuran perjalanan antarabangsa.
“Secara keseluruhannya, sektor penerbangan dijangka mendapat keuntungan daripada campuran perjalanan antarabangsa yang bertambah baik memandangkan perjalanan antarabangsa menguasai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi dan memberikan margin yang lebih tinggi,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat halangan besar akibat pandemik pada 2020, keseluruhan sektor penerbangan berjaya mengekalkan kecairan tunainya sepanjang tempoh tersebut dan kini sedang mengalami pemulihan kukuh permintaan perjalanan udara pada 2023.
Tambahnya, sektor penerbangan terus melaporkan peningkatan prestasi.
Menurutnya, dalam keputusan terkini 9MTK23, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaporkan kedudukan kunci kira-kira yang agak sihat dengan ekuiti pemegang saham sebanyak RM6.7 bilion, tunai (RM2.0 bilion), hutang jangka pendek (RM640.6 juta) dan liabiliti pajakan jangka pendek (RM27.0 juta).
“MAHB terus mencatatkan aliran tunai operasi positif sebanyak RM972.3 juta untuk 9MTK23 dengan keuntungan RM212.5 juta yang dilaporkan,” katanya.
Sebaliknya, HLIB berkata, Capital A Bhd. masih dalam kedudukan kewangan yang lemah, dengan kedudukan ekuiti pemegang saham negatif RM8.4 bilion, tunai (RM578.5 juta) dan hutang jangka pendek (RM945.8 juta).-UTUSAN