PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kini dapat menikmati produk eksklusif #madeinsolomons termasuk SolTuna dan jenama barangan berasaskan kelapa yang dikilang secara tempatan.
Produk tersebut seperti produk penjagaan diri Coco Soap oleh Islands’ Own dan KOSI oleh Kokonut Pacific Solomon Islands yang diedarkan oleh Bountiful Ventures Sdn. Bhd.
Duta Besar Kepulauan Solomon, Salana Kalu berkata, pihaknya berbangga Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN yang membawa produk terbaik dari Kepulauan Solomon.
“Ini merupakan peristiwa penting bagi kami, kerana perkongsian perdagangan ini menyokong kehidupan nelayan dan petani tempatan serta keluarga mereka.
“Malaysia dan Kepulauan Solomon mempunyai banyak persamaan sebagai negara membangun dan berkongsi yang terbaik antara kedua-dua negara dalam mencari cara baharu untuk bekerjasama,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, perkongsian perdagangan ini turut disokong oleh kerajaan Australia melalui inisiatif Strongim Bisnis.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows berkata, pihaknya menyokong rakan kongsinya di Kepulauan Solomon menyampaikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan Malaysia.
“Hubungan perdagangan yang kukuh di seluruh rantau Indo-Pasifik memberi manfaat kepada semua pihak dan kami teruja melihat peningkatan jumlah produk dari kedua-dua negara kami di rak pasar raya Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, SolTuna diperakui halal dan diberi pengiktirafan Perdagangan Adil.
“Ia juga mencapai pensijilan Marine Stewardship Council (MSC) yang menunjukkan produknya diurus dengan baik, dengan amalan penangkapan ikan yang memenuhi kemampanan piawaian ketat majlis itu,” katanya. –UTUSAN