Pos Malaysia yakin keputusan kewangan lebih baik 2024

Pos Malaysia yakin keputusan kewangan lebih baik 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional yakin dapat mencapai keputusan kewangan yang lebih baik pada tahun depan walaupun berdepan pasaran yang mencabar dan agak tepu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charles Brewer berkata, terlalu banyak syarikat yang beroperasi di Malaysia dengan lebih 110 lesen untuk menawarkan perkhidmatan kepada 30 juta rakyat di negara ini.

Katanya, kebanyakan syarikat tersebut adalah berpangkalan di peringkat antarabangsa yang datang ke negara ini dengan dana modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) yang mampu menurunkan penentuan harga.

“Jadi, pasaran agak tepu dan ini menjadikannya lebih mencabar. Selain itu, dua platform utama juga mencipta platform logistik mereka sendiri.

“Selain itu, pengguna Malaysia juga mempunyai kurang pendapatan boleh guna, menjadikan pasaran lebih menyederhana dan sedikit mencabar.

“Walau bagaimanapun, kami yakin dapat mencapai keputusan kewangan yang lebih baik pada tahun depan berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi jaringan ‘Beyond the Boardroom: ESG Strategies for Tomorrow’s Leaders’ Pos Malaysia dengan kerjasama Accenture dan UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Bebas Batu Kawan Berhad, Dr. Tunku Alina Alias; Ketua Peralihan Tenaga Asia Tenggara di AccentureJustin Goh dan  Pengarah Program UNGCNMYB, Shanta Helena Dwarkasing.

Bulan lalu, Pos Malaysia melaporkan kerugian bersih sebanyak RM33.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berbanding kerugian bersih sebanyak RM33.6 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Secara kumulatif, keuntungan bersih anak syarikat DRB-Hicom itu sebanyak RM88 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023.

Syarikat tersebut mencatatkan kerugian bersih sejak suku kedua tahun kewangan 2019 sehingga suku semasa.

Charles berkata, Pos Malaysia menekankan peranan penting dalam kemajuan Malaysia dan bagaimana syarikat berevolusi menerusi amalan kelestarian.

Menurutnya, inisiatif yang diketengahkan termasuk penggunaan teknologi seperti telematik, kecekapan tenaga gudang, peralihan kepada kenderaan elektrik dan penggunaan pembungkusan lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya