MyHSR Corp belum terima cadangan konsep projek HSR KL-SG

MyHSR Corp belum terima cadangan konsep projek HSR KL-SG

MyHSR Corp melanjutkan penyerahan permintaan maklumat (RFI) bagi cadangan konsep projek HSR KL-SG sehingga pada 15 Januari 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) masih belum menerima penyerahan permintaan maklumat (RFI) bagi cadangan konsep projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) setelah hampir sebulan tarikh serahan dilanjutkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap MyHSR Corp berkata, pihaknya menjangkakan penyerahan tersebut akan dibuat pada saat akhir iaitu hampir dengan tarikh tutup pada 15 Januari tahun depan.

“Ramai pihak yang berminat dari dalam dan luar negara. Sebab itulah mereka minta kami lanjutkan tarikh tutup kepada 15 Januari 2024 berbanding tarikh asal pada 15 November lalu.

“Mungkin mereka memerlukan lebih masa dan cadangan tersebut masih belum siap lagi,” katanya di ketika dihubungi semalam.

Pada 7 November lalu, MyHSR Corp mengumumkan lanjutan tarikh tutup penyerahan kepada 15 Januari 2024 berikutan permintaan daripada pemain industri antarabangsa dan tempatan.

Syarikat itu berkata, lebih 60 peratus syarikat yang menyatakan komitmen mereka untuk menyerahkan cadangan konsep projek itu, memohon agar masa dilanjutkan berikutan mereka memerlukan lebih masa untuk membentuk konsortium bersama rakan kongsi berpotensi dan mencari pilihan kewangan.

MyHSR Corp memaklumkan, pihaknya telah memberi taklimat RFI pada 27 Julai lalu untuk projek tersebut yang menarik lebih 700 penyertaan tempatan dan asing.

Pada taklimat itu, ia berkongsi gambaran keseluruhan proses RFI, termasuk garis masa untuk firma tempatan dan antarabangsa serta konsortium bagi mengemukakan cadangan konsep projek HSR KL-SG berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta dan melaksanakan projek itu berdasarkan model design-finance-build-operate-transfer (DFBOT).

Firma dan konsortium yang mengambil bahagian juga perlu menunjukkan kepakaran teknikal dan keupayaan keseluruhan untuk membangunkan dan mengendalikan sistem infrastruktur utama ini dengan sumber yang diperlukan dan dalam kos, kualiti dan masa yang dianggarkan.

MyHSR Corp berkata, firma dan konsortium juga perlu menunjukkan model komersial dan perniagaan yang berdaya maju serta rangka kerja konsortium dan tadbir urus.

Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura mahu projek tersebut dihidupkan semula.

Baginda bertitah, projek itu (HSR) boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta di mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya