MOTOSIKAL dan Enjin Nasional atau lebih dikenali sebagai MODENAS, kini bersama-sama rakan niaga baharunya, KAWASAKI, sudah mula memasarkan model-model “CKD” atau pun barisan motosikal yang dipasang secara tempatan bermula daripada motosikal berkapasiti 650cc sehinggalah ke model 250cc.
Model yang agak popular ketika mula-mula diperkenalkan enam tahun dulu, menepati permintaan peminat-peminat motosikal lasak dan ‘touring’, terutamanya bagi penunggang yang hanya mampu untuk memiliki lesen B2, iaitu berkapasiti 250cc ke bawah.
Menggunakan enjin yang hampir sama dengan model Ninja 250, namun telah ditala berlainan sedikit untuk menepati penunggangan lasak dan jarak jauh. Versys-X, dilihat sebagai jawapan kepada peningkatan permintaan terhadap jentera dua roda yang mampu milik dan berkapasiti enjin yang boleh ditunggang dengan lebih ramai di dalam pasaran.
Namun, apakah Versys-X keluaran dan edaran MODENAS ini sama hebatnya dengan model asal yang diperkenalkan pada 2017 dahulu? Mari kita ikuti laporan tunggang uji saya terhadap model ini.
RUPA BENTUK FIZIKAL
Skim warna telah berubah daripada model asal Versys-X yang terdahulu. Bahagian ‘cowling’ hadapan dan ‘fairing’ tepi telah berwarna hitam berbanding skim warna hijau ‘Kawasaki’ pada keseluruhan bahagian motosikal.
Model ini kini dipasang besi pelindung fairing dan juga dilengkapkan dengan lampu sport atau lampu kabus. Penambahan ini lebih menepati ciri-ciri rupa sebuah motosikal ‘touring/overlander’ atau jarak jauh. Berbanding model Versys-X yang asal, hanya rak belakang telah disediakan untuk para pemiliknya meletakkan aksesori kotak penyimpan barangan di bahagian ekor.
Versi tunggang uji yang diberikan pada saya bagaimanapun dilengkapi dengan kotak barangan kiri dan kanan yang mana saya diberitahu adalah aksesori yang boleh didapatkan melalui MODENAS. Boks sisi ini dilihat menggunakan kunci yang sama dengan kunci penghidup enjin motosikal. Ini sangat memberi kemudahan buat pemiliknya tanpa perlu menggunakan terlalu banyak kunci yang perlu dibawa.
Skim warna dua tona hitam dan hijau, besi pelindung enjin dan lampu kabus, adalah merupakan perubahan yang dibawa oleh MODENAS KAWASAKI untuk pasaran tempatan untuk 2023. Namun sayangnya, perubahan tersebut lebih bersifat kosmetik, tanpa perubahan lain yang lebih signifikan terhadap reka bentuk fizikal.
Meter yang sama telah digunakan seperti model 2017 dahulu dan mempamerkan paparan jarum analog dan skrin LCD kecil. MODENAS KAWASAKI memilih untuk meneruskan penggunaan meter lama ini dan sekaligus menampakkan model ini agak ketinggalan zaman sedikit. Begitu juga dengan lampu-lampu yang digunakan. Versys-X, masih lagi menggunakan lampu mentol dan bukan LED dengan strip DRL pada lampu utama dan lampu-lampu lain seperti lampu belakang, lampu brek, serta lampu isyarat.
Skrin pelindung angin juga masih menggunakan jenis yang tidak boleh dilaras ketinggiannya untuk memberikan variasi pada tahap perlindungan angin. Begitupun, penambahan sepasang pelindung tangan pada pemegang handel, satu langkah yang agak baik pada model ini.
PENUNGGANGAN
Saya berpeluang menyertai sesi tunggang uji model ini pada 2017, dan saya telah pun menyebutkan tentang beberapa perubahan kosmetik terhadap model Versys-X ini berbanding model tersebut.
Sehubungan dengan itu, saya terpaksa bersikap jujur dengan mengatakan bahawa prestasi enjin Versys-X ini sangat-sangat mengecewakan kerana saya secara peribadi, mendapati tidak sama seperti prestasi enjin model 2017.
Tunggangan uji saya di kawasan ‘off-road’ ringan iaitu dalam sebuah kebun kelapa sawit telah mendapati Versys-X ini bertindak balas dengan agak lemah. Saya telah bertanyakan pada pusat servis MODENAS, dan bertanyakan tentang kelemahan penghantaran kuasa tujahan pada julat kuasa 4,000 RPM, walau pada gear apa sekali pun! Saya terpaksa turun sekurang-kurangnya sebanyak 2 gear untuk membolehkan Versys-X ini berkuasa mendaki bukit atau ketika memotong kenderaan.
Seingat saya, Versys-X 2017 dahulu tidaklah sedemikian. Saya pasti, kuasa tujahan Versys-X model 2017 sudah boleh dirasakan pada kadar 4,000 rpm kerana kategori Versys-X adalah untuk tunggangan lasak, yang memerlukan kuasa dihantar pada julat kuasa yang rendah (low end range).
Saya memahami sekiranya ketidakupayaan model tungganguji saya ini mencapai kelajuan maksimum 170km/j seperti Ninja 250 yang padahal menggunakan enjin yang sama, namun mengharapkan ia boleh menyamai kelajuan maksimum Versys-X 2017 dahulu (155-160 kmj). Saya memahami tentang model tunggang uji versi 2023 ini telah dipasang dengan kotak sisi dan ini menambah berat serta rintangan angin yang tinggi ketika di lebuh raya, namun tidak menyangka ia seteruk ini. Saya hanya mampu mencapai kelajuan lebih sedikit daripada 140 kmj.
Saya merasakan sesuatu yang agak tidak kena pada sistem klac ‘slip and assist’ model ini kerana menjadikan tuil klac tangan menjadi terlalu lembut dan pada awal penunggangan, saya beberapa kali tersepit jari ketika penggunaan hanya dua jari untuk tindakan penarikan tuil klac ketika menukar gear.
KESIMPULAN
Kecewa. Hanya itu yang saya mampu katakan. Prestasi enjin yang gagal diulang berbanding model 2017 atas sebab yang saya tidak dapat ketahui. Begitu pun, sistem suspensinya menjalankan tugas dengan sempurna serta sistem breknya, berjenama NISSIN juga berfungsi dengan baik.
Harga jualan sekitar RM24,000 bakal menjadi topik perdebatan dalam pembelian kerana model-model saingannya meletakkan harga jualan bawah RM20,000 seunit. Selain pertukaran skim warna, pemasangan lampu kabus, “fairing guard”, dan pelindung tangan, Versys-X tidak menambah baik perkara yang lebih penting, khususnya sistem gear yang lebih menarik sekiranya disertakan ‘quick shifter’.
Kebanjiran motosikal-motosikal dari China memberikan pilihan yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh MODENAS KAWASAKI ini. Mungkin KAWASAKI tidak serius dalam menangani saingan dan masih diuliti mimpi bahawa jenama JEPUN akan terus bertakhta pada peminat jentera dua roda tempatan selama-lamanya.-UTUSAN
SPESIFIKASI
ENJIN | 249CC |
KUASA MAKSIMUM | 33.5HP @10,000RPM |
KAPASITI TANGKI BAHAN BAKAR | 17.0 LITER |
TORK MAKSIMUM | 21.7Nm @11,500RPM |
GEAR | 6 KELAJUAN |
RODA HADAPAN | 100/90-19 |
RODA BELAKANG | 130/80-17 |
SUSPENSI | TELESKOPIK (HADAPAN)
UNITRAK (BELAKANG) |