TOKYO: Pengeluar automotif Jepun, Daihatsu Motor menggantung semua pengeluaran domestik pada Selasa di tengah-tengah skandal berhubung pemalsuan ujian keselamatannya.
Menurut laporan Xinhua, pembuat kereta itu menghentikan operasi di kilangnya di wilayah Osaka selepas menutup tiga kilang lain di wilayah Shiga, Kyoto dan Oita, sehari sebelumnya menyebabkan pengeluaran domestik terhenti sepenuhnya.
Pada Isnin, Daihatsu berkata, operasi di empat kilang itu dijangka terus digantung sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari tahun depan.
Daihatsu berjanji untuk memberi pampasan kepada semua syarikat yang menerima bekalan langsung daripadanya.
Minggu lepas, Daihatsu mengumumkan siasatan mendapati masalah mendapati 174 kes salah laku baharu berhubung ujian keselamatan ke atas kenderaan baharu yang meliputi 64 model.
Pengeluar kereta itu berkata, ini merangkumi sejumlah 64 model serta tiga enjin kenderaan daripada keseluruhan model yang sedang dihasilkan, dibangunkan atau dihentikan pengeluaran termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.
Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara pengeluar peralatan asal (OEM) kepada Toyota, Mazda dan Subaru.
Senarai model tersebut termasuk beberapa kereta Perodua iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza.
Model Toyota yang disenaraikan berkaitan dengan pasaran Malaysia ialah Rush, Vios dan Veloz.
Pada April, pembuat kereta itu memperakui penipuan data dalam ujian perlanggaran bagi enam modelnya termasuk yang dijual di pasaran Thailand dan Malaysia.
Pada Mei, syarikat itu didapati memperoleh pensijilan kerajaan secara tidak wajar bagi kenderaan enjin hibrid untuk pasaran Jepun.-UTUSAN