KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bank pusat dalam kenyataannya berkata, duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dan duit syiling peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
Bagi duit syiling peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) iaitu duit syiling berbentuk segi empat sama yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram.
“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM440 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi duit syiling peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) iaitu duit syiling yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain pula mempunyai berat 8.5 gram.
“Dengan nilai muka sebanyak RM1, duit syiling ini akan dijual dengan harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa. Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk set dua dalam satu untuk jualan pada harga RM495,” ujarnya.
Bagi memberi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, BNM berkata, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
“Orang ramai boleh membuat tempahan menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai pukul 11 pagi 18 Disember 2023 hingga pada pukul 11 malam pada 1 Januari 2024,” ujarnya.
BNM turut menasihatkan orang ramai supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.
“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.
“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” jelasnya. –UTUSAN