KUALA LUMPUR: Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) melancarkan Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM), program dana sosial Islam pertama di Malaysia yang menggunakan dana zakat wakalah bagi membantu usahawan mikro daripada kumpulan asnaf.
Program itu menggalakkan akses kewangan dan pembangunan yang saksama melalui penyediaan peluang pembiayaan yang mudah dan mampu dimiliki.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim berkata, AZAM diperkenalkan sebagai satu pendekatan zakat secara inovatif yang mana ia diagihkan secara produktif melalui pembiayaan mikro.
Ia dilaksanakan menerusi struktur dana pusingan dan merintis cara bagaimana zakat dimanfaatkan untuk membantu para usahawan mikro daripada golongan asnaf.
Beliau berkata, program menyasarkan usahawan mikro asnaf yang layak dan dana diagihkan menurut konsep Qard (pembayaran balik tanpa faedah atau keuntungan).
“Zakat merupakan satu instrumen ekonomi yang membantu merapatkan jurang kekayaan dalam masyarakat melalui rangkuman kewangan.
“Berpandukan nasihat dan pandangan pakar, kami merintis program AZAM bagi mengagihkan zakat secara produktif kepada para usahawan mikro asnaf dan pada masa yang sama membantu mereka membangunkan sumber pendapatan yang mampan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya pada majlis pelancaran program itu di sini, semalam.
Alliance Islamic Bank turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai rakan strategik pembiayaan mikro dalam satu majlis yang disaksikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Turut hadir, Pengerusi LZS; Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini; Pengerusi Alliance Islamic Bank; Datuk Wan Azhar Wan Ahmad; Pengerusi AIM; Datuk Seri Dr. Syed Hussain Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Rizal berkata, Alliance Islamic Bank akan menanggung semua kos pengurusan yang berkaitan dengan program ini dan sebagai permulaan akan memperuntukkan sebanyak RM225,000 dana zakat wakalah melalui dana pusingan untuk memanfaatkan seramai 45 usahawan mikro asnaf.
“Usahawan mikro asnaf yang layak serta memerlukan modal kerja atau sokongan perbelanjaan modal boleh memperoleh dana pembiayaan mikro zakat sehingga RM5,000,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Sabirin berkata, kerjasama antara Alliance Islamic Bank dan AIM menyediakan model pembiayaan sosial inovatif yang patuh syariah dan berupaya membantu kumpulan asnaf secara berkesan ke arah mencapai taraf hidup yang stabil seterusnya mengubah mereka menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.
“Kami berharap Program ini menggalakkan lebih banyak kerjasama swasta-awam yang dapat meningkatkan taraf hidup kumpulan asnaf dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Mohamed Shamir pula berkata, bagi terus membantu usahawan mikro asnaf, program AZAM dilengkapkan dengan modul peningkatan kemahiran yang merangkumi bidang pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran.
“Kerjasama ini membolehkan kami membantu para usahawan mikro berpendapatan rendah untuk meningkatkan kemahiran perniagaan masing-masing menerusi sesi latihan dan ‘mentoring’,” katanya. – UTUSAN