PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi baharu, berkuatkuasa pada 20 Disember 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan.
Katanya, Abdul Rashid telah mengasaskan Kumpulan RHB, salah sebuah kumpulan perbankan terbesar negara.
“Kami yakin usaha untuk memperkukuhkan TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pelantikan Abdul Rashid adalah bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar yang tamat tempoh sebagai Pengerusi.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Abdul Rashid juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji.
Abdul Rashid adalah pengasas Kumpulan RHB iaitu beliau menubuhkan syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn. Bhd. pada 1983 dan seterusnya mengembangkannya menjadi satu daripada kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari 1994 hingga 1998 dan sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga tahun 2000.
Tokoh korporat tersebut juga antara enam ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH.
Dalam masa sama, TH berterima kasih kepada Azman sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH.
Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 20 Disember 2021, Azman berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Nov 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir 7 peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022. –UTUSAN