PETALING JAYA: UMW Grantt International Sdn. Bhd. (UMW Grantt), sekali lagi menjadi Penaja Platinum acara pengembaraan permotoran lasak terbesar Asia Tenggara, Cabaran Off-Road Antarabangsa Borneo Safari ke-31 (Borneo Safari).
Ia merupakan kali ketujuh anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW itu menjadi Rakan Rasmi Minyak Pelincir Berprestasi bagi cabaran berkenaan.
Sebanyak 450 kenderaan off-road yang diubah suai khas dan seramai 1,400 peserta dari pelbagai negara menyertai cabaran berkenaan yang diadakan di Tambunan dan Ranau.
Perasmian acara dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew di Ibu Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu.
Pengarah Kumpulan, Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd Osman berkata, UMW GRANTT teruja untuk sekali lagi menyertai ekspedisi Borneo Safari yang berfungsi sebagai platform baik untuk mempromosikan minyak pelincir GRANTT berprestasi tinggi terutama Minyak Enjin Diesel Quasa GRANTT yang terkini.
“Ia dirumus khas untuk memberikan prestasi dan perlindungan enjin yang cemerlang semasa perjalanan yang jauh dan mencabar. Rangkaian GRANTT Quasar tidak asing lagi dengan keadaan pemanduan yang ekstrem dan ekspedisi ini sekali lagi akan membuktikan kebolehpercayaan dan ketahanannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut syarikat itu, rangkaian GRANTT Quasar dirumus dengan bahan tambahan unggul yang memberikan prestasi enjin yang cemerlang dan perlindungan terhadap kehausan enjin, terlalu panas, pembentukan enap cemar dan kakisan, walaupun dalam keadaan paling sukar – UTUSAN