MELAKA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan jualan MyAQua’ Best sebanyak RM500,000 pada tahun depan dan akan memberi manfaat kepada 10,000 isi rumah di seluruh negara.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini MyAQua’ Best telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM58,720 di empat lokasi dikendalikan empat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang berperanan sebagai pemasar.
Kata beliau, seramai 874 isi rumah telah mendapat manfaat melalui penjimatan sehingga RM18,290 bagi pembelian produk akuakultur.
“Berbaki empat lagi jualan MyAQua’ Best saya jangkakan nilai jualan mungkin mencecah RM100,000. Program ini merupakan antara usaha LKIM membantu para usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna.
“Secara tidak langsung kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan melalui penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar sempenan Majlis Perasmian Program Jualan MyAqua’ Best di sini, semalam.
Tambahnya, LKIM menyediakan 500 kilogram udang putih sempena jualan MyAQua’ Best di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa Dua, Kampung Sebatu. – UTUSAN