PUTRAJAYA: KPJ Healthcare Berhad muncul hospital pertama negara ini yang memiliki teknologi perubatan tiga dimensi (3D) secara maya, VSI Holomedicine️.
Malahan menurut Presidennya, Chin Keat Chyuan, kaedah moden berasaskan standard teknologi telekomunikasi generasi kelima (5G) itu akan dikembangkan ke seluruh negara.
“Kami sudah buat projek rintis di Hospital Pakar Damansara 2, Selangor baru-baru ini dan berhasrat diperluaskan mulai tahun depan,” jelasnya pada sidang akhbar, di sini semalam.
Terdahulu, beliau hadir menyaksikan majlis perasmian Persidangan KPJ Healthcare Ke-24 oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Norazman Ayob, mewakili Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan turut melancarkan teknologi berkenaan hasil kerjasama firma terkemuka dari Jerman, apoQlar.
Turut hadir Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim yang menyampaikan ucaptama bertajuk Transformasi Penjagaan Kesihatan Masa Depan.
VSI Holomedicine dimajukan berasaskan wadah perkakasan perubatan diperakui global, Microsoft HoloLens 2 dan sudah digunakan oleh puluhan hospital di lebih 15 negara.
Di Malaysia, teknologi canggih itu mendapat sokongan daripada Digital Nasional Berhad, TM One, Microsoft dari Amerika Syarikat dan National University Health System dari Singapura.
Mengulas lanjut, Keat Chyuan berkata, inisiatif penggunaan teknologi itu buat julung kali di Malaysia meletakkan KPJ Healthcare selaku institusi perubatan terulung sistem tersebut.
“Justeru, kami berbangga mahu kaedah hebat ini juga dapat dinikmati pula ribuan pesakit meliputi baki 28 buah lagi hospital di bawah KPJ Healthcare bermula tahun depan,” katanya.
Menerusi teknologi itu ujarnya, pelanggan yang bakal menjalani sebarang pembedahan bakal diberi taklimat melalui penggunaan kaedah hologram 3D dan visual imej 360 darjah. – UTUSAN