KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023, lebih tinggi berbanding 2.9 peratus yang direkodkan suku sebelumnya.
Pencapaian itu melangkaui unjuran kebanyakan penganalisis ekonomi sebelum ini yang menjangkakan KDNK S3 hanya sekitar 3 peratus atau mungkin lebih rendah, mengambil kira senario ekonomi semasa.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour, ia didorong oleh peningkatan permintaan dalam negeri, pasaran buruh yang terus bertambah baik serta aktiviti pelancongan dan pembinaan yang semakin rancak.
Prestasi ekonomi bulanan pula meningkat sebanyak 4.2 peratus pada Julai, menyederhana kepada 3.2 peratus pada Ogos dan 2.5 peratus pada September 2023.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6 peratus berbanding suku kedua 2023 sebanyak 1.5 peratus.
“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023,” katanya dalam pembentangan Prestasi Ekonomi Malaysia bagi Suku Tahun Ketiga 2023 di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Tambah Shaik Abdul Rashid, prestasi keseluruhan KDNK suku ketiga dipacu sektor perkhidmatan dan pembinaan, manakala sektor pertanian menunjukkan pemulihan selepas penurunan pada suku tahun sebelumnya.
Sementara perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku tahun dilaporkan.
“Dari segi prestasi sektoral, sektor Perkhidmatan meningkat 5.0 peratus (S2 2023, 4.7 peratus). Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan borong dan runcit (5.4 peratus); Pengangkutan dan penyimpanan (12.8 peratus) dan Perkhidmatan perniagaan (8.6 peratus).
“Selain itu, beberapa subsektor utama iaitu kewangan dan insurans menunjukkan penyusutan lebih kecil, masing-masing 0.3 peratus (S2 2023, -1.9 peratus) dan 2.4 peratus (S2 2023, -13.4 peratus) bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor Perkhidmatan meningkat 2.1 peratus (S2 2023, 2.7 peratus),” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun dalam persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 4 peratus tahun ini dan 4 hingga 5 peratus pada 2024.
“Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negara. Prestasi pertumbuhan ini bersama-sama perkembangan ekonomi menggalakkan yang lain akan memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya.
Kata beliau, BNM turut menjangkakan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong, ditambah dengan pelaburan projek infrastruktur berbilang tahun dan inisiatif pemangkin lain, manakala pemulihan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh serta pelaksanaan projek yang lebih pantas boleh mencetuskan kejutan.
Mengenai prospek pertumbuhan, beliau berkata, ia ‘kekal tertakluk’ kepada risiko penurunan seperti permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan, serta kemerosotan yang lebih besar dan lebih berlarutan dalam pengeluaran komoditi.
Jelas Shaik Abdul Rasheed, perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah yang menyumbang 62.1 peratus kepada KDNK, meningkat 4.6 peratus disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam pengangkutan (11.0 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (4.9 peratus), dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (5.9 peratus).
“Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 5.8 peratus disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi ke atas bekalan dan perkhidmatan, manakala bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, ia dijangka meningkat 4.6 peratus (suku tahun kedua 2023: 4.0 peratus) pada suku tahun ini,” katanya.
Shaik Abdul Rasheed juga berkata, selari dengan prestasi di beberapa negara dagangan, kedua-dua eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 12.0 peratus dan 11.1 peratus, berikutan permintaan global yang lemah.
Sehubungan itu, tambahnya, eksport bersih terus merosot sebanyak 22.7 peratus berbanding penurunan 3.7 peratus pada suku tahun sebelumnya. – UTUSAN