ENTAH kenapa, motosikal jenama Yamaha seringkali menjadi buruan dan permintaan peminat motosikal tempatan mahupun di Asia Tenggara. Kemunculan kegilaan satu-satu model, walaupun sebenarnya model tersebut sudah dihentikan pengeluarannya lebih dari sedekad, para pencinta Yamaha ini mempengaruhi pasaran untuk meletakkan harga belian yang tinggi dan tidak masuk akal.
Skuter viral dari Yamaha ini tidak ketinggalan. Ketika kemunculan Yamaha XMax Versi 1, ia menjadi keinginan ramai untuk dijadikan sebuah ‘kuda tunggangan’ pergi dan balik dari kerja. Kemudian, pemilik model ini bertambah menjadi ribuan sehinggakan terwujudnya kelab pemilik XMax yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, selain mempunyai cawangan di setiap negeri dan bandar-bandar.
Akibat Covid-19, jalur pemasangan di kilang Hong Leong Yamaha dan di Indonesia telah terhenti dan menyebabkan kewujudan faktor permintaan melebihi penawaran. Apabila senario ini terjadi maka akan melonjakkan nilai harga produk tersebut. Yamaha XMax V1 adalah contoh yang terbaik apabila sekiranya anda ingin menjual Xmax anda yang sudah pun berumur dua ke tiga tahun, anda masih berupaya mendapatkan harga jualan hampir sama dengan harga belian anda. Jika anda telah menambah aksesori, anda mungkin mampu menjualnya sehingga RM30,000 hingga RM35,000 seunit.
REKA BENTUK XMAX TECHMAX 250
Ternyata, ia penambahbaikan kosmetik terhadap skuter paling popular ini. Lampu hadapan yang menyerupai huruf X serta perubahan kedudukan lampu isyarat daripada sisi bawah, diletakkan pada bahagian atas berdekatan skrin pelindung angin.
Sebaik sahaja anda duduk di atas pelanannya, anda dapat lihat meter telah digantikan dengan meter TFT sepenuhnya. Xmax TechMax ini mempunyai sistem kembar peranti anda seperti Yamaha TMax TechMax. Menariknya, penggunaan sistem pemetaan Garmin untuk para pengguna XMax TechMax 250 ini, mereka boleh menggunakannya secara percuma. Tidak seperti pengguna TMax Tech Max 530, anda harus membayar aplikasi tersebut.
Cermin pelindung anginnya masih tidak dilengkapi dengan perlarasan elektrik, begitu juga pengecas alat peranti anda pada kompartmen kiri, masih lagi menggunakan pot pengecas cigarette lighter dan bukannya USB port Type C. Pelananya mengalami sedikit perubahan iaitu kini disaluti dengan kulit yang berbeza untuk bahagian pembonceng, tetapi masih mengekalkan reka bentuk asal Xmax V1.
Reka bentuk luaran Xmax TechMax ini tampak lebih ‘bersegi’ dan lebih pendek namun kami diberitahu demensinya adalah masih sama di antara V1 dan V2.
Selain dari apa yang diterangkan di sini, Xmax TechMax 250 menggunakan hampir kesemua sistem kejuruteraan V1 dan sedikit penambahbaikan dengan penggunaan meter TFT yang sudah tentu diselenggarakan oleh ECU yang baharu.
PENUNGGANGAN
Secara keseluruhan, saya tidak mendapat apa-apa maklumat tentang kemungkinan ada perubahan terutamanya pada spesifikasi enjin. Curahan kuasa dari enjinnya seperti sama saja dengan enjin Xmax V1.
Namun sekiranya dilihat perbezaan utama antara kedua model ini, selain meter TFT, sistem suspensi Xmax TechMax dibekalkan dengan suspensi belakang yang lebih keras daripada V1. Ketika di zaman kemuncak kewujudan Xmax V1 dahulu, rata-rata pemiliknya telah menukar penyerap hentakan standard kilang tersebut dan menggantikannya dengan yang terdapat di pasaran luar. Beberapa jenama hebat dari Thailand, Indonesia, Malaysia dan Sweden begitu banyak dilihat digunakan pada V1.
Kali ini, mungkin Yamaha mendengar keluhan pengguna jenama mereka ini dan mungkin atas dasar inilah, Xmax TechMax 250 boleh ditunggang dengan lebih efisien dengan suspensi belakang yang lebih keras dan lebih memberikan ‘rebound’ yang lebih responsif.
Namun, saya dapati suspensi hadapan seperti sedikit terlalu keras sehingga saya merasakan bahagian roda hadapan seperti melantun-lantun apabila melalui garisan kuning atau merah ketika mengambil selekoh di lebuh raya. Masalah kecil ini dapat diselesaikan dengan menggantikan minyak penyerap hentakan hadapan tersebut kepada kelikatan minyak yang lebih baik.
KESIMPULAN
Walau agak awal segmen kesimpulan ini saya muncul dalam artikel kali ini, secara keseluruhannya, Xmax versi 2 ini saling tidak tumpah berbanding versi 1 dari segi pengendalian atau penunggangannya.
Sudah tentulah, kebolehan meter V2 mempamerkan peta dari garmin, memainkan lagu-lagu dari senarai yang terdapat dalam peranti anda, membuatkan ianya lebih serba moden dan terkini. Tambahan pula keupayaan untuk memadankan sistem telekomunikasi di helmet seperti Cardo, anda boleh menjawab panggilan telefon dengan hanya penggunaan tombol di bar pemegang.
Sehubungan dengan itu, Xmax V2 ini membawa terlalu sedikit perubahan atau penambahbaikan. Tiada kebolehan melaras skrin penghadang angin secara elektronik tidak mengujakan. Malah, pemilihan untuk masih menggunakan port pengecas jenis ‘cigarette lighter’ ini tampak sedikit kolot.
Kesemua faktor ini tidak membantu saya menukar Xmax V1 ke V2, akan tetapi faktor harga jualan V1 terpakai masa kini tidak masuk akal. Permintaan yang terlalu tinggi untuk V1 terpakai sehingga mencapai harga yang sama ketika pembelian. Atas faktor ini sahaja, tarikan untuk menjual Xmax V1 sekarang sangat mengujakan.
Perdebatan faktor harga jualan V2 yang ketika perlancarannya disebut pada harga jualan hampir RM24,000. Hanya lebih RM1,000 daripada harga jualan model V1 tahun 2022, juga banyak menimbulkan kontroversi. – UTUSAN