JAMINAN Kerajaan (GG) kekal sebanyak RM317.9 bilion atau 17.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2023, menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024.
Menurut laporan tersebut, terdapat beberapa penambahan GG pada separuh pertama 2023 bagi meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur pengangkutan awam di bawah DanaInfra Nasional Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.
Katanya, penambahan dimbangi dengan bayaran balik oleh penerima GG lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. dan Pengurusan Air SPV Berhad.
“Segmen infrastruktur kekal penerima utama GG pada 57.5 peratus terutamanya bagi projek pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan lebuh raya.
“Segmen perkhidmatan mewakili penerima kedua terbesar GG dengan 28.8 peratus terutamanya bagi pendidikan, perumahan dan kewangan.
“Baki segmen lain pula termasuk pegangan pelaburan (6.2 peratus), utiliti (lima peratus) dan perladangan (2.5 peratus). Sepuluh penerima utama GG mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah jaminan terkumpul,” kata laporan tersebut.
Selain itu, laporan menjelaskan lebih 90 peratus daripada GG terkumpul adalah dalam denominasi ringgit yang seterusnya mengurangkan pendedahan risiko tukaran asing kepada kerajaan.
Jelasnya, purata tempoh matang berwajaran bagi pembiayaan GG kekal 11.4 tahun dengan 52 peratus daripada tempoh matang GG melebihi 10 tahun.
Dalam pada itu, komitmen jaminan yang diberikan kerajaan kepada entiti penerima GG telah berkurang kepada RM221.4 bilion akhir Jun 2023 berbanding RM224.1 bilion pada 2022.
“Walaupun terdapat terbitan baharu oleh penerima GG bagi projek infrastruktur, peningkatan ini telah diimbangi dengan pembayaran yang besar bagi pinjaman 1MDB berjumlah RM13.2 bilion pada Mac 2023.
“Pada masa ini, pembiayaan secara GG yang diberikan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah dikategorikan sebagai komitmen jaminan disebabkan oleh bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan bagi pelan pemulihan FELDA,” ujarnya.
GG merupakan instrumen kuasi-fiskal yang ditadbir di bawah Akta Jaminan Kerajaan (Pertubuhan Perbadanan) 1965 [Akta 96].
Kerajaan menyediakan jaminan dalam bentuk sokongan pembiayaan bagi melaksanakan projek infrastruktur awam atau usahasama strategik yang menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN