Nestlé Malaysia catat untung bersih RM133.7 juta - Utusan Malaysia

Nestlé Malaysia catat untung bersih RM133.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Berhad mencatatkan pertumbuhan untung selepas cukai sebanyak RM133.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2023, dipacu oleh jualan domestik yang kukuh dan penambahbaikan berterusan dalam kecekapan dalaman.

Menurut kenyataannya, pertumbuhan tersebut juga didorong oleh inisiatif penjimatan kos dan kesan kos komoditi yang lebih sederhana serta perniagaan Wyeth, yang disepadukan buat kali pertama pada suku tahun ini, menjana hasil positif seperti yang dijangka.

Bagi suku yang sama, syarikat merekodkan perolehan sebanyak RM1.77 bilion, kenaikan 5.3 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Nestle berkata, jualan domestik kekal sebagai penyumbang utama dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 11.7 peratus.

Pertumbuhan ini sebahagiannya mengimbangi jualan eksport yang lebih rendah berbanding tahap jualan yang sangat tinggi pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, produk terasnya terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.

Katanya, inovasi yang dipelopori baru-baru ini juga mendapat sambutan baik daripada pengguna, lantas memberikan kami keyakinan untuk terus menjana pertumbuhan dan keuntungan yang mampan.

“Melangkah masuk ke suku terakhir tahun ini, kami berdiri teguh mendukung komitmen kami untuk memacu pertumbuhan Kumpulan yang mampan.

“Walaupun menghadapi persekitaran yang tidak menentu, terutamanya akibat kelemahan ringgit dan turun naik berterusan dalam harga komoditi dan tenaga, kami terus memanfaatkan kedudukan kukuh dan keupayaan terbukti kami dalam menyediakan produk relevan.

“Di samping itu, agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) kami memastikan syarikat kekal di barisan hadapan membantu membentuk masa depan yang lebih hijau bagi Malaysia,” katanya di sini semalam.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini pula, Nestlé Malaysia mencatatkan untung selepas
cukai sebanyak RM511.8 juta, peningkatan sederhana sebanyak 5.0 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil syarikat bagi tempoh yang sama pula dicatatkan sebanyak RM5.37 bilion, peningkatan 7.0 peratus berbanding RM5.02 bilion yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN