MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya’, begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan bagi mendidik generasi muda agar menyedari tanggungjawab serta kepentingan kemampanan dan kitar semula dalam memulihara alam sekitar.
Data Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) mendedahkan, Malaysia kehilangan kira-kira RM476 juta sumber boleh dikitar semula dalam industri yang dianggap bernilai tinggi, ekoran amalan kitar semula masih belum menjadi kebiasaan warganya.
Sementara itu, jumlah sampah yang dihasilkan seluruh negara, meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan, dianggarkan kira-kira 36,843 tan sisa sampah dijana setiap hari pada 2018 dan 2019 bertambah kepada 37,462 tan; 38,081 tan (2020); 38,699 tan (2021); dan 39,936 tan metrik tahun lepas.
Menyedari situasi berkenaan, Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), iaitu anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) memberi tumpuan dalam meneruskan agenda kelestarian di samping menyebar luas aplikasi serta sistem pengurusan sisa berpusat untuk manfaat rakyat dan negara secara keseluruhan.
Ditubuhkan pada 2013 di bawah naungan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), AFES yang beroperasi selama 10 tahun menawarkan perkhidmatan penyelesaian alam sekitar melalui aktiviti perniagaan teras Pengurusan Aset dan Fasiliti,
Pembersihan Infrastruktur dan Penyelesaian Sisa dan Kemudahan Pengurusan Sisa.
Ketua Pegawai Operasi AFES, Nazar Abdul Raof berkata, pencapaian Malaysia masih belum setanding dari segi pengurusan sisa dan kitar semula yang cekap berbanding negara lain dan langkah-langkah ke arah tersebut, telah pun diambil bagi memastikan Malaysia berdaya saing dan seiring dengan negara-negara jiran.
Menurut Nazar, bagi memastikan tabiat kitar semula dapat diterapkan di semua peringkat, AFES mengambil langkah serius melalui pendekatan pendidikan awal dengan melibatkan pelajar di seluruh Lembah Klang melalui program di sekolah.
“Kami di AFES mengambil inisiatif dengan mempromosikan kitar semula melalui pendidikan di sekolah memandangkan pelajar ini cepat belajar dan merupakan generasi masa hadapan dalam memulihara dan memelihara planet kita.
“AFES dengan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPN WPKL) telah memperkenalkan program Kitar Semula Sekolah (KITS) bermula Mac lalu bagi merancakkan lagi kesedaran kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, pada mulanya, AFES meletakkan sasaran lima buah sekolah setiap bulan selama lima bulan dengan jumlah sekolah sebanyak 25 buah. Namun, sambutan yang diterima amat luar biasa dengan sekolah terlibat bertambah dua kali ganda kepada 50 buah.
“Daripada 50 sekolah yang menyertai KITS, 25 daripadanya sekolah paling aktif mengamalkan kitar semula dalam kalangan pelajarnya. Kami turut menerima panggilan berterusan daripada sekolah-sekolah yang terlibat di mana mereka mencari pelbagai maklumat mengenai kitar semula dan ia merupakan sesuatu yang amat positif,” katanya.
Mengulas mengenai KITS, Nazar berkata, program berkenaan direka khas bagi sekolah-sekolah yang terlibat dengan beberapa pengisian seperti amalan kitar semula, mengumpul bahan kitar semula, dan menguruskan sisa mengikut garis panduan selaras dengan objektif program.
Katanya, AFES turut memberi ceramah mengenai kesedaran kitar semula, permainan serta kuiz berkaitan program bagi menarik minat pelajar supaya mereka terus mengamalkan kitar semula.
“Tidak cukup dengan itu, peserta yang terlibat KITS juga akan menerima sijil sebagai pengiktirafan atas usaha dan penglibatan mereka dalam mempromosikan amalan kitar semula di sekolah.
“Selain itu, mereka dibekalkan dengan modul KITS, merangkumi bahan dan sumber pendidikan untuk membantu mereka meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kitar semula dan pengurusan sisa,” katanya.
Fasiliti RISE KL Inisiatif Ke Arah Kelestarian Alam
Nazar berkata, sebagai tambahan kepada KITS, AFES menyasarkan untuk meningkatkan kunjungan dalam kalangan pelajar ke fasiliti kitar semulanya iaitu Recovery Initiative Sustainable Eco-Facility Kuala Lumpur (RISE KL) yang dilancarkan pada 15 September lalu.
Dibangunkan bermula dengan penubuhan operasi kitar semula secara manual dan dinaiktaraf secara berperingkat sehingga beroperasi sepenuhnya pada Januari 2022, RISE KL menggunakan proses semi-automatik dari sumber aliran tunggal atau dwi aliran.
Dengan kapasiti menguruskan sebanyak 50 tan sisa setiap hari, RISE KL juga dibangunkan untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang 2050, seiring inisiatif Malakoff untuk mencapai kadar kitar semula 15 hingga 20 peratus menjelang 2025.A
FES berada di landasan yang baik bagi mencapai sasaran tersebut memandangkan RISE KL dijangka meningkatkan kapasiti bahan kitar semula dan produktiviti operasi mesin di mana syarikat itu dijangka mampu menghasilkan 65 tan sisa kitar semula dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Nazar, AFES sebelum ini telah melancarkan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) dan Fasiliti Kitar Semula Bersepadu (IRF) di Presint 5, Putrajaya, di mana kedua-dua kemudahan berkenaan menggabungkan teknologi terkini untuk pengendalian dan pengurusan sisa.
Beliau berkata, pembinaan yang menelan belanja lebih RM12 juta itu selaras dengan sasaran AFES dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah selain digunakan untuk mendidik orang ramai khususnya kanak-kanak dan belia.
Jelas beliau, kejayaan AFES membangunkan fasiliti di Putrajaya mendorong syarikat membangunkan fasiliti terbaharunya RISE KL bertempat di Gombak, Selangor bagi memberi pengetahuan komprehensif dan amalan terbaik tentang kitar semula dan pemisahan sisa untuk menangani peningkatan pembuangan sisa di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.
“Saya berharap dengan pembukaan RISE KL ini kita dapat menarik minat pelajar-pelajar serta generasi muda untuk berkunjung ke fasiliti kami bagi melihat serta merasai sendiri bagaimana proses pengasingan sampah dan berfikiran bahawa ia mempunyai nilai untuk dikitar semula.
“Selain itu, kita mahu menarik minat golongan muda terutamanya pelajar bahawa AFES menggunakan teknologi dan inovasi dalam menguruskan sisa pepejal dan mampu mengubah pemikiran apabila bekerja dengan sisa pepejal ia adalah pekerjaan yang kotor dan busuk,” katanya.
Ujar Nazar lagi, sebagai sebuah syarikat yang menekankan kelestarian, AFES berusaha meluaskan kesedaran kepada demografi lebih luas bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat termasuk di kawasan terpencil.
“Kami di AFES melihat usaha sama di antara pihak sekolah, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat mampu memupuk amalan kitar semula bermula dari kanak-kanak sehingga ke golongan dewasa.
“Melibatkan komuniti tempatan dan sumber luar amat penting dalam kelestarian dan pendidikan kitar semula. Kerana itu AFES bekerjasama dengan pelbagai organisasi korporat tempatan mengenai inisiatif kelestarian dan kitar semula,” katanya.
Tambah Nazar, AFES telah bekerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti Nestlé (M) Bhd., Malayan Banking Bhd. (Maybank), UMW Holdings Bhd., Technip Energies dan Etiqa untuk memacu pengumpulan dan kitar semula sisa plastik.
Beliau juga menekankan bahawa faktor Alam Sekitar, Lestari dan Tadbir Urus (ESG) semakin mendorong keputusan usaha kelestarian syarikat dan ia semakin menarik minat di Malaysia dan peringkat global.
“Hari ini, semakin banyak syarikat korporat, badan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi mengguna pakai agenda kemampanan dan bersedia bekerjasama untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam tentang punca dan strategi pelaksanaan yang berpotensi,” katanya.
Ditanya harapan beliau, Nazar berkata, AFES sentiasa mencari peluang dan terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat besar dalam merancakkan lagi kelestarian negara. – UTUSAN