KUALA LUMPUR: Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), syarikat tenaga bersih Emiriah Arab Bersatu (UAE) melabur sebanyak AS$8 bilion (RM37.8 bilion) untuk projek tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 10 gigawatt (GW) di Malaysia.
Ini susulan pemeteraian perjanjian persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang akan menyumbang secara signifikan kepada transformasi tenaga lestari di negara ini.
Menurut kenyataannya bersamanya, MIDA akan memudahkan Masdar untuk membangunkan sehingga 10 GW projek RE menjelang 2035, termasuk pemasangan tanah, loji janakuasa solar atas bumbung dan terapung, ladang angin darat dan sistem simpanan tenaga bateri.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman di Abu Dhabi.
Perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Perindustrian dan Teknologi Termaju UAE, Pengerusi Masdar dan Presiden Dilantik, COP28, Dr. Sultan Al Jaber dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sultan Al Jaber berkata, perjanjian penting ini akan menyaksikan UAE dan Malaysia memperdalam perkongsian dalam pembangunan RE, secara langsung menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Menjelang UAE menganjurkan COP28, ia seterusnya menunjukkan komitmen Masdar dan UAE untuk menyokong negara di seluruh dunia, menyahkarbonkan ekonomi di dalam dan luar negara untuk peralihan tenaga yang adil dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, Zafrul berkata, pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-UAE merentasi pelbagai industri penting untuk membantu mengharungi ketidaktentuan global dan mengenal pasti peluang yang menguntungkan kedua-duanya negara.
“UAE, terutamanya melalui Masdar telah menunjukkan contoh yang terpuji dalam usaha menuju kemampanan negaranya dengan kepimpinannya yang diiktiraf dalam tenaga bersih, rendah karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan potensi pelaburan Masdar sehingga AS$8 bilion dengan kapasiti sehingga 10 GW dalam sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
“Kerjasama MIDA-Masdar ini adalah sejajar dengan objektif yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dalam mencapai kemampanan dan keselamatan tenaga untuk transformasi perindustrian Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN