Johor Port, PTLCL rai pencapaian operasi Bunkering LNG ke-100 - Utusan Malaysia

Johor Port, PTLCL rai pencapaian operasi Bunkering LNG ke-100

MAJLIS penghargaan bagi Operasi Kapal Bunkering LNG ke-100 antara Johor Port dan Petronas yang dihadiri oleh Md. Derick Basir, (kiri) dan Shamsul Bahari Salleh (kanan) di Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, berjaya menyempurnakan Operasi Bunkering Gas Asli Cecair (LNG) ke-100 bersama anak syarikat milik Petronas, PETCO Trading Labuan Company Limited (PTLCL), baru-baru ini.

Pelaksanaan operasi ini bermula pada November 2020 dengan pembekalan LNG kepada kapal MV Siem Aristotle yang juga merupakan Operasi LNG Bunkering Malaysia yang pertama.

Hasil kerjasama dengan PTLCL melalui Petronas Marine telah berjaya menyempurnakan Operasi Bunkering LNG ke-100 pada 28 Julai lalu untuk Pengangkut Pukal Max Newcastle ‘Mount Norafjell,’ mengatasi Singapura dari segi bilangan operasi LNG Bunkering dan jumlah tan bunker sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai perintis hab bunker di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, kejayaan Operasi Bunkering LNG ke-100 merupakan pencapaian yang membanggakan bagi Johor Port yang juga pelabuhan Bunkering LNG paling aktif di Asia dengan rekod jumlah tan bunker melebihi 100,000 tan metrik.

“Had Pelabuhan Pasir Gudang di bawah Johor Port terletak pada kedudukan yang paling penting di laluan kapal-kapal dari arah Timur dan Barat, menjadikan Johor Port sebagai lokasi pilihan untuk semua kapal LNG yang melalui laluan tersebut bagi operasi LNG Bunkering.

“Pencapaian di dalam operasi ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan marin yang cekap bagi menyokong pertumbuhan perniagaan LNG di Malaysia.

“Kami sangat mengutamakan hal keselamatan di dalam perkhidmatan yang diberikan dan berpuas hati dengan pelaksanaan operasi bunkering dengan sifar kemalangan yang telah berjaya dijalankan sejak tiga tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PETCO Trading Labuan Company Limited, Shamsul Bahari Salleh berkata, kejayaan ini menjadi pendorong untuk lebih banyak pencapaian pada masa akan datang dalam usaha memacu penggunaan bahan api yang lebih bersih di dalam industri marin.

“Kami yakin sepenuhnya dengan kapasiti kami untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab bunkering LNG dan menyokong matlamat kemampanan Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

“Kerjasama ini memperlihatkan dedikasi kedua-dua organisasi, Johor Port dan Petronas, untuk memajukan perkhidmatan marin yang mampan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Hab Bunkering LNG yang menawarkan penyelesaian tenaga bersih yang boleh dipercayai dengan kos yang berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN