Bilangan penganggur pada Ogos turun kepada 577,300 orang - Utusan Malaysia

Bilangan penganggur pada Ogos turun kepada 577,300 orang

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan penganggur pada Ogos 2023 terus menurun kepada 577,300 orang, dengan kadar pengangguran kekal 3.4 peratus, lapor Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh kekal stabil pada bulan tersebut dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

“Bilangan tenaga buruh pada Ogos bertambah baik dengan peningkatan 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 16.93 juta orang berbanding 16.91 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar penyertaan tenaga buruh Ogos kekal pada 70.1 peratus seperti pada Julai 2023,” katanya dalam kenyataan.

Selanjutnya, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Ogos berada pada trend menaik, dengan peningkatan 0.1 peratus kepada 16.35 juta orang berbanding 16.34 juta orang pada Julai.

“Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan dikaji terus berkurang, dengan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 577,300 orang berbanding 579,200 orang yang dilaporkan pada Julai.

“Sebanyak 75.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja dan kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus merekodkan 12.32 juta orang daripada 2.31 juta orang pada Julai.

“Pada masa sama, penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan kenaikan 0.3 peratus kepada 2.97 juta orang daripada 2.96 juta orang pada bulan sebelumnya,” ujarnya.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Di samping itu, sektor pembuatan, pertanian, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi pengangguran Ogos, Mohd. Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80 peratus daripada jumlah penganggur.

“Kategori ini terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.6 peratus mencatatkan 462,100 ribu orang daripada 464,700 orang pada bulan sebelum.

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.4 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.2 peratus.

“Sementara itu, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif merekodkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 115,200 orang berbanding 114,500 ribu orang pada Julai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya