Asas ekonomi negara kekal teguh, berdaya tahan - Gabenor BNM

Asas ekonomi negara kekal teguh, berdaya tahan – Gabenor BNM

ABDUL RASHEED ABDUL GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pergerakan semasa ringgit lebih banyak dipengaruhi oleh faktor global dan tidak mencerminkan asas ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Beliau menegaskan, ekonomi Malaysia hari ini berdaya tahan terutamanya dari segi asas ekonomi, keteguhan sektor dan pasaran kewangan.

Katanya, BNM sentiasa melaksanakan langkah-langkah perlu untuk memastikan ringgit dapat diselaras dengan teratur, dan mempermudahkan urusan perniagaan bagi memacu pertumbuhan.

“Ringgit pada masa ini sangat dipengaruhi oleh perkembangan global dan sudah tentu tidak mempengaruhi asas kukuh (ekonomi) negara.

“Bank Negara akan melakukan apa sahaja yang perlu dan Bank mempunyai beberapa langkah yang boleh digunakan (untuk mengawal nilai ringgit) jika perlu,” katanya pada Persidangan JC3 `Journey to Zero’ di Sasana Kijang, semalam.

Semalam, ringgit kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), apabila dibuka rendah pada sesi dagangan pagi berikutan permintaan yang lebih tinggi untuk dolar di tengah-tengah konflik berterusan di Asia Barat.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.7750/7785 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.7655/7700.

Mata wang tempatan itu ditutup pada 4.7775/7880.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Abdul Rasheed berkata, walaupun negara telah menghampiri tahap krisis kewangan Asia, namun negara tidak berada dalam krisis.

“Kita melihat dari segi pertumbuhan ekonomi Malaysia, baru-baru ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan (jangkaan) pertumbuhan ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga lebih baik daripada pertumbuhan suku kedua sebanyak 2.9 peratus.

“Kedua, kita mempunyai sistem perbankan yang kukuh disokong oleh tahap permodalan yang tinggi serta aset yang sihat dan mereka bersedia untuk membiayai ekonomi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

“Ketiga, modal sektor luar kita juga sangat kukuh dengan lebihan akaun modal,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Abdul Rasheed berkata, BNM menjangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank-bank akan diselaraskan dengan aktiviti sokongan atau peralihan iklim, seperti yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan menjelang 2026.

Tambahnya, BNM akan terus menyediakan persekitaran dasar yang memudahkan industri untuk memajukan inovasi kewangan dan meneroka struktur kewangan baharu yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembiayaan penting bagi pengurangan dan penyesuaian risiko iklim.

“Ini perlu meliputi peranan yang lebih menonjol untuk perkongsian awam-swasta dan struktur kewangan gabungan yang inovatif.

“BNM telah mula menjalankan semakan menyeluruh terhadap peraturan kami untuk memastikan risiko iklim diambil kira dengan sewajarnya dan disepadukan dengan baik ke dalam rangka kerja pengawal seliaan kami.

“Perkara ini bagi memastikan industri kekal berdaya tahan iklim, di samping dapat menyokong peralihan ekonomi dengan berkesan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya